Tanpa Gimik, Lagu Raya Aliff Syukri Meletup
“Mama & Papa Raya” Tular, Raih Jutaan Tontonan Walau Siap Dalam Lima Hari
Tanpa gimik sensasi atau promosi besar-besaran, lagu raya “Mama & Papa Raya” nyanyian usahawan sensasi Dato’ Sri Aliff Syukri mencetuskan fenomena luar jangka di media sosial.
Aliff mengakui dirinya sendiri terkejut apabila lagu berkenaan yang sebenarnya dirakam lebih dua tahun lalu akhirnya menjadi antara lagu raya paling tular tahun ini.
Menurutnya, lagu itu pada asalnya tidak pernah dirancang untuk dilancarkan kerana ketika itu terdapat beberapa kontroversi yang berlaku menjelang sambutan Aidilfitri.
“Sejujurnya saya sendiri terkejut. Lagu ini sebenarnya sudah siap lebih dua tahun lalu, tapi kami tak keluarkan kerana ada beberapa perkara yang berlaku ketika itu.

“Jadi lagu itu hanya disimpan saja. Tahun ini kami fikir kenapa tidak keluarkan saja sebab ia belum pernah dilancarkan,” katanya ketika ditemui media sewaktu majlis berbuka puasa bersama kakitangan DHerbs di Hotel Concorde Shah Alam pada 11 Mac lalu.
Apa yang lebih mengejutkan, keseluruhan proses menyiapkan lagu dan video muzik dilakukan dalam tempoh yang sangat singkat.
“Kami ambil masa kira-kira lima hari saja untuk siapkan semuanya termasuk rakaman lagu dan penggambaran video muzik. Boleh kata kami tak belanja besar pun untuk lagu ini,” katanya.
Namun tanpa sebarang strategi promosi atau gimik luar biasa, lagu itu tetap mencuri perhatian ramai dan pantas tular di media sosial.

“Memang tak ada gimik langsung. Lagu ini keluar begitu saja. Alhamdulillah beberapa stesen radio seperti Era FM dan Sinar pun mainkan lagu ini,” katanya.
Lebih menarik, Aliff berkata dia tidak campur tangan dalam konsep video muzik kerana mahu memberi ruang kepada pasukan kreatif menghasilkan idea mereka sendiri.
“Saya memang tak bagi arahan apa-apa. Saya serahkan kepada isteri saya dan pengarah video muzik untuk buat konsep mereka sendiri. Alhamdulillah hasilnya jadi dan ramai yang suka,” katanya.
Dalam masa sama, isterinya, Datin Sri Shahida Mohd Rashid turut menerima perhatian apabila muncul dalam video muzik lagu berkenaan.

Menurut Shahida, ramai peminat menyuarakan kerinduan melihatnya kembali aktif di dunia hiburan.
“Memang ada yang minta saya buat ‘comeback’ solo, tapi buat masa ini saya rasa agak sukar kerana komitmen terhadap keluarga dan perniagaan. Masa pun sangat terhad,” katanya.
Aliff turut mengakui bukan mudah menghasilkan video muzik yang melibatkan semua ahli keluarga, terutama dengan kehadiran anak-anak kecil.
“Kalau buat video muzik dengan keluarga, memang mencabar. Anak-anak kecil pun ramai, jadi kesabaran memang kena kuat,” katanya.
Dalam pada itu, Aliff juga berkongsi realiti kehidupan yang jarang diketahui ramai di sebalik populariti yang dimilikinya.
Menurutnya, kesibukan sebagai usahawan, duta produk dan personaliti media sosial kadangkala membuatkan dirinya berasa sangat penat dan tertekan.
“Kadang-kadang orang nampak kehidupan kita seronok sebab ada duit dan popular, tapi sebenarnya tekanan itu ada.
“Event banyak, jadi duta produk, buat siaran langsung dan macam-macam lagi sampai ada masa saya rasa macam tak ada masa untuk diri sendiri,” katanya.
Bagaimanapun katanya, tujuan utama dia menghasilkan lagu raya bukan semata-mata untuk meraih populariti.
“Saya buat lagu raya bukan untuk glamor. Saya cuma nak kekal relevan supaya orang sentiasa ingat saya, terutama dalam bisnes,” katanya.
Tambahnya lagi, persaingan lagu raya pada masa kini juga semakin sengit apabila semakin ramai artis menghasilkan karya baharu setiap tahun.
“Tahun ini saja lebih 120 artis keluarkan lagu raya. Jadi bukan mudah untuk lagu kita menonjol. Sebab itu saya sendiri tak jangka ‘Mama & Papa Raya’ boleh jadi antara lagu paling tular,” katanya.
Setakat ini, lagu berkenaan sudah mencatatkan hampir 25 juta tontonan di YouTube selain mencetuskan lebih 50,000 video pengguna di TikTok, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara fenomena lagu raya tahun ini.
