Esther Yu Temui Peminat Malaysia Menerusi iQIYI Starship 2026
Platform penstriman popular Asia, iQIYI mengumumkan bahawa acara jelajah iQIYI Starship 2026 bakal memulakan persinggahan pertamanya di Malaysia pada 7 April depan.
Lebih menarik, acara yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur itu akan menampilkan kemunculan khas pelakon dan penyanyi terkenal China, Esther Yu yang juga Duta Global Antarabangsa iQIYI.
Penampilan itu bakal menjadi pertemuan pertama Esther Yu bersama peminat Malaysia, sekali gus dijangka menarik perhatian peminat drama China tempatan.
Pemilihan Malaysia sebagai persinggahan pertama jelajah iQIYI Starship 2026 dibuat susulan sambutan hangat terhadap pelbagai aktiviti dan pengaktifan iQIYI di Asia Tenggara sepanjang tahun lalu. Langkah itu juga mencerminkan komitmen iQIYI untuk terus memperkukuhkan kehadirannya dalam pasaran hiburan digital Malaysia.
Esther Yu yang dilantik sebagai Duta Global Antarabangsa iQIYI pada November tahun lalu dikenali menerusi beberapa drama popular seperti Love Between Fairy and Devil, My Journey to You serta Sword and Fairy yang mendapat sambutan meluas di Asia.

Dalam acara itu nanti, beliau dijangka berkongsi pengalaman di sebalik tabir serta perjalanan menjayakan drama asal iQIYI berjudul Speed and Love (双轨) yang turut dibintanginya.
Drama berkenaan mengetengahkan latar dunia perlumbaan kompetitif dengan gabungan elemen pertumbuhan diri, pencarian identiti serta konflik emosi. Sejak dilancarkan, siri tersebut menjadi antara drama China yang paling banyak diperkatakan di Asia Tenggara.
Bagi peminat yang ingin menghadiri acara berkenaan, peluang penyertaan akan diutamakan kepada ahli VIP Tahunan Antarabangsa iQIYI Malaysia.
Maklumat lanjut mengenai mekanik penyertaan serta perkembangan terkini acara itu akan diumumkan melalui platform media sosial rasmi iQIYI Malaysia.
