March 7, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Dafi, Ryan Bakery & Farel Prayoga Meriahkan Syawal Dengan “Raya Yay Yay”

Spread the love

Sempena kehadiran Syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi, penyanyi Dafi, personaliti hiburan Ryan Bakery dan penyanyi cilik Indonesia Farel Prayoga tampil memeriahkan musim perayaan menerusi lagu raya berjudul Raya Yay Yay.

Lagu penuh energi dan ceria itu membawa pendengar mengimbau kembali kenangan indah menyambut Aidilfitri ketika zaman kanak-kanak dimana saat rumah dipenuhi gelak tawa, kunjungan sanak saudara serta kemeriahan suasana kampung.

Naskhah terbitan FYP Media itu merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Iqie Hugh, Omar K dan John Jeeves. Lagu berkenaan sudah dilancarkan secara rasmi sejak 27 Februari lalu, manakala muzik videonya mula ditayangkan di saluran YouTube Indigital Music bermula 6 Mac.

Menariknya, kolaborasi pertama kali antara Dafi, Ryan dan Farel dilihat sebagai gabungan unik yang berjaya menghasilkan warna tersendiri dalam lagu raya moden.

Menurut Dafi, dia berasa gembira dapat menyambut Syawal kali ini dengan karya baharu bersama dua personaliti yang mempunyai karakter berbeza.

“Sebenarnya rakaman lagu ini berlaku secara tidak sengaja. Apabila pihak pengurusan FYP Media menawarkan peluang untuk berganding dengan Ryan dan Farel, saya anggap ini peluang yang sangat baik.

“Saya sendiri belum pernah bekerjasama dengan mereka sebelum ini dan sepanjang proses rakaman, banyak perkara baharu yang saya pelajari,” katanya.

Tambah penyanyi itu, suasana lagu yang penuh energi menuntut dirinya memberikan komitmen tinggi agar dapat ‘masuk’ ke dalam jiwa lagu tersebut.

Ryan pula menyifatkan Raya Yay Yay sebagai lagu yang sangat dekat dengan personalitinya yang ceria dan gemar menyebarkan aura positif kepada orang sekeliling.

“Hari Raya selalu digambarkan dengan kemeriahan berkumpul bersama saudara-mara dan sahabat handai. Kemeriahan itulah yang cuba diterjemahkan oleh pencipta lagu ini.

“Semangat itu juga kita cuba gambarkan dalam muzik video. Saya mahu semua orang menyambut lebaran dengan suasana ceria dan gembira.

“Aidilfitri bukan satu pertandingan. Kita harus nikmati dengan penuh keinsafan serta menghargai apa yang kita miliki hari ini,” katanya.

Bagi Farel pula, peluang merakamkan Raya Yay Yay disifatkan sebagai pengalaman istimewa kerana ini merupakan lagu raya pertamanya sejak bergelar penyanyi.

“Saya belum pernah menghasilkan lagu raya kerana di Indonesia biasanya lagu lebih tertumpu kepada Ramadan. Jadi apabila diberi peluang ini, saya tidak mahu lepaskan.

“Semoga lagu ini mendapat sambutan baik daripada pendengar di Malaysia dan juga Indonesia,” kata anak kelahiran Banyuwangi, Indonesia itu.

Farel turut berkongsi pengalaman lucu sepanjang proses rakaman apabila terpaksa menyesuaikan diri dengan beberapa perkataan Melayu yang agak asing baginya.

“Ada beberapa perkataan yang saya tidak faham tetapi sangat lucu. Sebab itu saya gembira dapat terlibat dalam projek ini kerana banyak perkara baharu yang saya pelajari,” ujarnya.

Sebagai rekod, Raya Yay Yay dilancarkan secara rasmi pada 27 Februari lalu, manakala muzik videonya boleh ditonton di YouTube Indigital Music bermula 6 Mac.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page