March 7, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Kolaborasi Tantari, Putera Bobo Menerusi ‘Tangisan 1 Syawal’

Spread the love

Selepas mencipta fenomena menerusi lagu Rindu Hatiku Rindu dan Korban Rindu, dua penyanyi cilik popular, Tantari dan Putera Bobo kini disatukan dalam sebuah lagu raya penuh emosi berjudul Tangisan 1 Syawal.

Lagu ciptaan komposer tersohor, Eddie Hamid dengan lirik oleh Jaju, Hakim Hakimi dan Te Ha itu hadir dengan pendekatan berbeza apabila membawa konsep balada menyayat hati, bukan lagu raya rancak seperti kebiasaan.

Sebelum ini, lagu Rindu Hatiku Rindu nyanyian Tantari mencipta fenomena apabila berada di kedudukan #1 trending YouTube selama 20 hari berturut-turut selain meraih lebih 16 juta tontonan. Sementara itu, Korban Rindu dendangan Putera Bobo pula berjaya mencatat lebih 1.3 juta tontonan di platform sama.

Menurut Eddie, kejayaan lagu solo kedua-dua penyanyi cilik itu membuatkan beliau terdetik untuk menggandingkan mereka dalam sebuah karya istimewa sempena Aidilfitri.

“Memang sudah lama saya terfikir untuk satukan mereka dalam satu lagu dan cadangan itu mendapat sokongan Nova Music Malaysia.

“Namun, saya tidak mahu hasilkan lagu raya yang biasa. Tangisan 1 Syawal adalah lagu balada yang mengangkat kisah dua beradik yang menjadi anak yatim piatu,” katanya.

Tambah Eddie, lagu itu dihasilkan dengan penuh keikhlasan kerana kisah yang dibawa sangat dekat dengan dirinya.

“Sebagai anak yatim piatu, saya memahami perasaan kehilangan itu. Sebab itu saya harap nyanyian mereka mampu menyentuh hati pendengar,” katanya.

Menariknya, proses rakaman lagu itu dilakukan secara berasingan. Tantari atau nama sebenarnya Naufal Zahirul Azahel Mohd Alfian, 8, merakam vokal di Studio NAR, Kuala Lumpur, manakala Putera Bobo atau Putera Shah Nasratullah Mohd Nasran, 14, merakam bahagian vokalnya di K-Seventh Studio, Kelantan.

Bagi menguatkan lagi penceritaan, muzik video Tangisan 1 Syawal turut menjalani penggambaran di rumah anak yatim dan tanah perkuburan.

Dalam video muzik itu, Tantari memegang watak adik manakala Putera Bobo sebagai abang. Walaupun pertama kali bertemu di set penggambaran, kedua-duanya cepat mesra dan Putera Bobo melayan Tantari seperti adiknya sendiri.

Menurut Tantari, dia pada awalnya menyangka bakal merakam lagu raya yang ceria, namun terkejut apabila menerima lagu yang sarat emosi.

“Bila rakam lagu ini memang rasa sedih kerana saya bayangkan ada kawan-kawan sebaya yang tidak ada ibu bapa untuk beraya bersama,” katanya.

Bagi Putera Bobo pula, lagu itu memberi makna mendalam kerana mengingatkan tentang pentingnya bersyukur dengan nikmat keluarga.

“Biasanya bila raya semua orang gembira dengan keluarga, tapi anak-anak yatim terutama yang kecil tidak ada mak ayah.

“Saya harap lagu ini dapat mengingatkan kita supaya tidak melupakan mereka. Jika ada kesempatan, ziarah dan raikanlah mereka,” katanya.

Lagu Tangisan 1 Syawal terbitan Nova Music Malaysia kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik digital, manakala muzik video rasminya boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page