Najmi Niery, Adrianna Cinta Berpadu Suara Dalam ‘Best Part Of Raya’
Kredit Foto: PapaDin
Selepas tiga tahun mengorak langkah dalam industri muzik rakaman tanah air, penyanyi dan komposer muda, Najmi Niery akhirnya mempertaruhkan single raya pertamanya berjudul Best Part of Raya sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Menariknya, karya berkenaan tercetus secara spontan apabila Najmi sebelum ini tidak pernah terfikir untuk menghasilkan lagu bertemakan raya. Namun, ilham yang datang secara tiba-tiba akhirnya membawa kepada kelahiran lagu yang digarap dengan sentuhan berbeza.
Single itu adalah hasil ciptaan bersama Brendan Lim Seng Meng dan Amanda Gnai Song Hui daripada MFMF yang menampilkan konsep unik iaitu sebuah “surat cinta” dalam bentuk lagu.

Pelancaran Best Part of Raya diraikan dalam majlis berbuka puasa dan sidang media yang berlangsung di AEON Mall Shah Alam, baru-baru ini. Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran 30 anak yatim dari Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia dan Pusat Jagaan Budi Bestari yang diraikan bersama.
Pada majlis sama, duit raya turut disampaikan oleh Pengurus Kanan Perniagaan Digital dan Komersial Sony Music Malaysia, Aiman Nubailah, Pengurus Kanan Operasi Pusat Beli-belah AEON Mall, S. Vettrivelu serta Najmi Niery dan Adrianna Cinta.
Berkongsi mengenai idea penghasilan lagu itu, Najmi berkata karya berkenaan dihasilkan sekitar Oktober tahun lalu ketika sesi penulisan bersama MFMF.
“Pada mulanya kami tidak tahu mahu menulis tentang apa. Selepas berbincang, kami akhirnya mengambil keputusan menghasilkan lagu raya yang berbentuk surat cinta antara dua individu yang saling merindui dan tidak sabar untuk bertemu pada hari raya,” katanya.
Menurut Najmi, proses penghasilan lagu itu bermula dengan penciptaan melodi sebelum lirik disiapkan bersama.
“Kami mulakan dengan chord progression terlebih dahulu. Selepas itu barulah melodi datang secara semula jadi dan seterusnya kami bekerjasama menyiapkan keseluruhan lagu,” katanya.

Menambah keistimewaan lagu itu, Best Part of Raya turut menampilkan penyanyi dan komposer, Adrianna Cinta sebagai pasangan duet Najmi.
Najmi berkata, pemilihan Adrianna dibuat kerana suara penyanyi itu disifatkan sangat sesuai dengan ton vokalnya.
“Suaranya sangat menenangkan dan serasi dengan gaya nyanyian saya. Bagi saya, Adrianna memang pasangan duet yang tepat untuk lagu ini,” katanya.
Sementara itu, Adrianna mengakui tidak menyangka akan bergandingan dengan Najmi meskipun mereka pernah bertemu di beberapa acara muzik sebelum ini.
Menurutnya, mereka berkongsi kecenderungan muzik yang hampir sama terutama dalam genre Pop R&B yang dipengaruhi gaya muzik Indonesia.
“Bila digabungkan dalam lagu ini, saya rasa ia satu kombinasi yang cukup baik kerana vibes muzik kami memang sehaluan,” katanya.

Mengimbas pengalaman rakaman, Najmi berkata bahagian vokalnya sudah dirakam ketika sesi penulisan lagu berlangsung pada Oktober tahun lalu, manakala Adrianna merakamkan bahagiannya pada minggu pertama Ramadan.
Dalam masa sama, mereka turut menjalani penggambaran visualizer lagu berkenaan dengan konsep ringkas bertemakan retro raya menggunakan teknik penggambaran one take shot.
Menurut Najmi, dia optimis Best Part of Raya mampu memberi warna baharu kepada lagu raya tempatan kerana tampil dengan sentuhan Pop R&B yang jarang diterokai.
“Saya sangat positif kerana lagu ini bukan lagu raya tipikal yang berunsur klasik. Ia lebih kepada Pop R&B dan saya rasa Malaysia perlukan sedikit kelainan untuk lagu raya,” katanya.
Single Best Part of Raya yang diterbitkan oleh Naj&Co, Sony Music Entertainment Malaysia serta Malika Entertainment & Management kini boleh didengari di semua platform penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music mulai 6 Mac 2026.
