March 5, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Mitski Kembali ke Asia: Kuala Lumpur Antara Destinasi Jelajah Dunia 2026

Spread the love

Penyanyi dan penulis lagu indie sensasi dunia, Mitski, bakal kembali memukau peminat Asia menerusi jelajah dunia terbaharunya, “Mitski presents Nothing’s About to Happen to Me.”

Lebih menarik, Kuala Lumpur turut tersenarai sebagai salah satu destinasi penting jelajah tersebut apabila konsert berkenaan dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 20 Julai 2026.

Konsert yang dianjurkan oleh AEG Presents Asia itu dijangka menjadi antara acara muzik indie paling dinantikan tahun ini, khususnya buat peminat Mitski yang sudah lama menunggu kemunculannya semula di rantau Asia.

Jelajah dunia ini diadakan bersempena pelancaran album studio kelapannya, Nothing’s About to Happen to Me, yang menampilkan sentuhan naratif mendalam serta gaya muzik emosional yang menjadi identiti penyanyi berkenaan.

Album itu ditulis sepenuhnya oleh Mitski sendiri yang turut menyampaikan semua vokal dalam karya tersebut. Ia meneruskan kesinambungan musikal daripada album terdahulunya, The Land Is Inhospitable and So Are We, yang menerima pujian luas daripada pengkritik muzik antarabangsa.

Menariknya, album terbaharu itu menampilkan kisah seorang wanita penyendiri yang hidup dalam dunia tersendiri. Jika di luar rumah dia dianggap pelik dan menyimpang, di dalam ruang peribadinya sendiri dia bebas menjadi dirinya yang sebenar.

Dalam masa sama, persembahan konsert jelajah ini bakal diperkukuhkan dengan iringan live band dan orkestra, sekali gus menjanjikan pengalaman muzik yang lebih dramatik dan emosional buat penonton.

Sepanjang kerjayanya, Mitski sudah menghasilkan tujuh album, dengan empat daripadanya mencapai status emas. Lagu popularnya, My Love Mine All Mine, pula mencipta fenomena global apabila meraih empat kali platinum.

Selain itu, Mitski turut dikenali melalui pelbagai kolaborasi antarabangsa termasuk bersama Florence Welch dalam album Everybody Scream, selain bekerjasama dengan David Byrne dan kumpulan Son Lux untuk lagu This Is a Life yang pernah dicalonkan di Anugerah Oscar.

Bagi peminat di Malaysia, jualan tiket konsert ini akan dibuka secara berperingkat bermula dengan pra-jualan artis pada 9 Mac, diikuti Spotify pre-sale pada 10 Mac, sebelum jualan umum bermula 11 Mac 2026 menerusi platform BookMyShow.

Harga tiket ditawarkan bermula RM358.

Selain Kuala Lumpur, Mitski juga akan singgah ke Singapore, Kuala Lumpur, Jakarta, Bangkok dan Manila. Dengan gabungan lirik yang jujur, emosi mendalam dan persembahan pentas yang penuh karisma, konsert ini pastinya menjadi pengalaman yang sukar dilupakan buat peminat muzik indie tempatan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page