February 16, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Raisa Bawa “Ambivert Tour” Ke Kuala Lumpur, Kejutan Datuk Seri Siti Nurhaliza Cetus Gempar

Spread the love

Kredit Foto:  Maestro Ridwan

Ribuan peminat ‘disihir’ Raisa yang membawa Ambivert Tour ke Zepp Kuala Lumpur pada 13 Febuari lalu sekaligus menjadi saksi satu lagi detik bersejarah dalam dunia muzik pop serantau.  Fanatika Raisa berkumpul sejak awal, masing-masing membawa harapan dan kenangan tersendiri, menunggu malam penuh emosi dan muzik yang dijanjikan.

Konsert yang dianjurkan oleh Sembang Kari Entertainment bersama MHT Live My ini menampilkan produksi pentas yang rapi dan sistem audio-visual kelas dunia. Setiap pencahayaan, visual latar dan susunan lagu dibina untuk menyelami tema ambivert iaitu gabungan introspeksi diri dan tenaga luar yang menghidupkan pengalaman seimbang antara refleksi dan kegembiraan kolektif.

Segmen pembukaan dimulakan dengan lagu “Semua Di Sini”, seolah-olah mengumpulkan perhatian seluruh penonton dalam satu detik magis. Lagu kedua, “It’s OK 2 Not Be OK”, memberi ruang penerimaan diri, menyuntik mesej bahawa setiap kelemahan dan kegagalan adalah sebahagian daripada perjalanan hidup.

Rentetan lagu seperti “Pengganti Aku” dan “Berpindah Hati” menenggelamkan penonton dalam bait-bait lirik, ada yang termenung, ada yang menepuk tangan mengikut rentak. Momen ini menegaskan konsert bukan sekadar hiburan, tetapi satu ruang penyembuhan emosi.

Titik hening memukau tercipta dengan persembahan a cappella “I’ll Be Waiting”. Tanpa iringan muzik penuh, vokal Raisa berdiri sendiri jujur, tulus, dan sarat perasaan seraya disorot lampu lembut yang menambah intimasi, seolah menyentuh setiap hati di dewan.

Momentum kembali meningkat dengan lagu “Si Paling Mahir”, diikuti kemunculan penyanyi jemputan Barsena Bestandhi untuk duet lagu “Awal Kisah” dan “Bila”. Kolaborasi ini menambah warna malam itu, vokal berbeza bersatu harmonis, memukau penonton dengan sorakan gemuruh.

Raisa terus menyentuh emosi dengan lagu-lagu popularnya seperti “Tetap Bukan Kamu”, “Ternyata Tanpamu” dan “Terserah”. Setiap bait lirik ibarat surat lama yang dibaca semula dengan penuh nostalgia, kerinduan, dan harapan.

Salah satu segmen paling dinanti ialah karaoke set, di mana lagu-lagu seperti “Love & Let Go”, “Serba Salah”, “Jatuh Hati”, “Tak Berharap Lagi” dan “Percayalah” menjadikan dewan satu koir raksasa. Raisa beberapa kali berhenti mendengar penonton menyanyi, tersenyum melihat keakraban terjalin, memberi ruang ekspresi diri yang sebenar.

Segmen by-request menambah elemen spontan. Lagu “Mantan”, “Cudit” dan “Kalked” dipersembahkan mengikut kehendak penonton, menjadikan malam itu bukan sekadar setlist dirancang, tetapi pengalaman interaktif dibina bersama.

Encore menutup tirai dengan lagu “Udin” dan “Apalah”, meninggalkan kesan hangat dan memori yang sukar dilupakan. Peminat pulang membawa sebahagian malam itu ke dalam kehidupan mereka sendiri.

Lebih istimewa, konsert malam itu dimeriahkan kehadiran ikon seni tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang datang memberi sokongan. Kehadiran beliau nyata mengejutkan Raisa.

“Saya sebenarnya berdebar sebab malam ini ada Datuk Seri Siti Nurhaliza. Selamat datang. Saya terkejut bila tahu Siti tahu lagu saya,” kata Raisa dengan gementar tetapi manis ketika mengalu-alukan kehadiran Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, yang duduk di aras atas.

Sorakan lebih 2,000 penonton memenuhi Zepp KL sebaik pengakuan spontan itu kedengaran. Sepanjang lebih dua jam persembahan, Raisa memukau dengan gabungan lagu dari album terbaru Ambivert serta lagu popular terdahulu.

Momen bersejarah itu ditutup dengan persembahan lagu baharu Raisa, “Ku Harap Duka Ini Selamanya”, yang dilancarkan secara rasmi pada hari yang sama. Peminat Kuala Lumpur menjadi antara yang pertama menyaksikan nyanyian secara langsung lagu ini.

Dengan gabungan vokal bertenaga dan emosi galau yang menjadi identiti Raisa, malam itu membuktikan penyanyi berusia 36 tahun ini terus berada dalam kelas tersendiri lebih-lebih lagi dengan kehadiran ikon seni seperti Siti Nurhaliza sebagai saksi pengalaman penuh magis itu.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page