Bella Astillah, Fipper Rai Raya Dengan ‘Ya Raya’
Single Raya Terbaharu Itu Menyatukan Muzik, Emosi Dan Gaya Hidup Menerusi Kolaborasi Strategik Bersama Jenama Tempatan
Penyanyi dan pelakon terkenal, Bella Astillah, tampil dengan single Raya terbaharu berjudul “Ya Raya” yang dilihat bukan sekadar sebuah karya muzik bermusim, sebaliknya sebahagian daripada kolaborasi gaya hidup bersama jenama tempatan, Fipper, sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Lagu yang dilancarkan pada 13 Februari 2026 itu ditulis oleh Rudeen, dikompos oleh Rudeen dan Exactesy, serta diterbitkan oleh Exactesy, dengan susunan muzik yang menggabungkan elemen moden dan tradisional bagi mengekalkan identiti lagu Raya yang dekat di hati pendengar.
Menurut Bella, hubungan emosinya dengan “Ya Raya” terjalin sejak kali pertama mendengar demo lagu berkenaan.

“Bila pertama kali dengar demo Ya Raya, saya terus rasa lagu ini sangat positif dan menggambarkan suasana Raya yang saya sendiri alami. Lagu ini ringan, penuh kesyukuran dan lebih kepada meraikan masa bersama keluarga serta kawan-kawan,” katanya.
Bella turut mengakui, meskipun lagu itu kedengaran ceria dan bertenaga, proses rakamannya hadir dengan cabaran tersendiri apabila beliau kurang sihat ketika sesi rakaman berlangsung.
“Cabaran utama adalah nak kekalkan tenaga dan keceriaan vokal tanpa kedengaran dibuat-buat. Tapi saya paling enjoy bahagian korus sebab sangat catchy. Dalam studio pun semua orang ikut menyanyi sama,” katanya.

Kolaborasi bersama Fipper dilihat memperluaskan mesej lagu ini daripada sekadar muzik kepada pendekatan gaya hidup sempena musim perayaan. Bella berkata, gabungan muzik dan elemen gaya hidup menjadikan kempen ini lebih dekat dengan realiti masyarakat.
“Bagi saya, Raya bukan sekadar muzik atau fesyen sahaja, tetapi keseluruhan cara hidup, termasuk perjalanan balik kampung dan masa bersama orang tersayang. Kolaborasi dengan Fipper sangat seronok kerana ia melambangkan keselesaan dan gaya santai Raya,” katanya.
Sementara itu, wakil Fipper menjelaskan pemilihan Bella Astillah sebagai wajah kolaborasi adalah selari dengan nilai jenama tersebut yang menekankan keaslian, keselesaan dan hubungan rapat dengan masyarakat pelbagai lapisan umur.
Menurutnya, “Ya Raya” dipilih kerana membawa emosi kegembiraan dan nostalgia Aidilfitri, sekali gus menjadikan muzik sebagai medium yang menghubungkan jenama dengan pengguna secara lebih bermakna.
“Kami melihat muzik sebagai bahasa universal yang mampu mencipta kenangan dan hubungan emosi, khususnya dalam kalangan generasi muda. Projek ini mencerminkan evolusi Fipper daripada sekadar jenama selipar kepada jenama gaya hidup,” katanya.

Dalam pada itu, Universal Music Malaysia memaklumkan pemilihan lagu ini dibuat melalui proses A&R yang teliti, mengambil kira kekuatan melodi, lirik dan potensi komersial agar benar-benar menjiwai semangat Aidilfitri.
Menurut pihak A&R, kolaborasi bersama Fipper dilihat sebagai pendekatan organik tanpa elemen penjenamaan yang terlalu menonjol, sekali gus memastikan lagu kekal tulen sebagai karya Raya.
Bella berharap “Ya Raya” dapat menjadi lagu yang menemani momen bermakna pendengar setiap kali Aidilfitri menjelma.
“Mesejnya simple, hargai masa bersama orang yang kita sayang. Raya datang setahun sekali, jadi gunakan masa ini untuk bersyukur, memaafkan dan cipta kenangan indah,” katanya.
Single “Ya Raya” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.
