Sasar Sejuta Pengunjung, Let’s Raya Gegak Gempita Raya 2026 Gegar WTC KL Selama 88 Jam
Festival raya berskala nasional dan antarabangsa, Let’s Raya Gegak Gempita Raya 2026, menyasarkan kehadiran lebih satu juta pengunjung apabila berlangsung selama 88 jam tanpa henti di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) bermula 12 hingga 15 Mac 2026.
Dengan konsep unik “masuk bila-bila, raikan Raya tanpa henti”, festival mega ini dilihat berpotensi mencipta fenomena baharu dalam landskap acara Ramadan dan Raya di Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penganjuran terbesar pernah dianjurkan.
Menurut Pengarah Projek, Kelly Azman, sasaran sejuta pengunjung itu disokong oleh tempoh penganjuran yang panjang, konsep tanpa henti serta lokasi strategik di tengah ibu kota.

“Penganjuran selama 88 jam memberi fleksibiliti sepenuhnya kepada pengunjung untuk hadir mengikut kesesuaian masa mereka. Ini menjadi faktor utama keyakinan kami untuk menyasarkan lebih satu juta pengunjung,” katanya ketika ditemui media di WTCKL pada 10 Febuari lalu.
Beliau berkata, pemilihan tarikh penganjuran 10 hari sebelum Aidilfitri turut menjadi pemangkin utama lonjakan kehadiran memandangkan tempoh tersebut merupakan kemuncak persiapan Hari Raya.
“Pada waktu ini, pengunjung hadir dengan fokus membeli. Jualan vendor biasanya melonjak seolah-olah berniaga selama dua bulan dalam satu masa,” jelasnya.
Let’s Raya Gegak Gempita Raya 2026 menghimpunkan pelbagai segmen pengunjung merangkumi keluarga, usahawan dan peniaga, peminat fesyen serta kecantikan, pencipta kandungan digital, selain pelawat tempatan dan antarabangsa.
Bagi memastikan kesantunan serta roh Ramadan terus terpelihara, festival ini memperkenalkan pemisahan zon masa, dengan pengisian keagamaan dan kerohanian dari siang hingga awal malam, manakala aktiviti fesyen, kecantikan, perniagaan serta hiburan terkawal disajikan dari malam hingga awal pagi.
Sasaran sejuta pengunjung itu turut diperkukuhkan dengan penglibatan 88 selebriti dan pempengaruh, yang terlibat secara langsung menerusi aktiviti pentas, penghasilan kandungan digital secara langsung serta kolaborasi bersama jenama.
Pendekatan ini menjadikan festival berkenaan antara acara Raya terbesar dari segi pengaruh digital di Malaysia, disokong strategi pemasaran menyeluruh melibatkan liputan televisyen dan radio, papan iklan sekitar Kuala Lumpur, pemasaran media sosial serta kandungan digital sebelum dan sepanjang penganjuran.

Selain menjadi platform jualan, festival ini turut menekankan elemen penjenamaan jangka panjang, dengan penyertaan pelbagai jenama besar tempatan yang menjadikan penganjuran ini sebagai medium membina hubungan berterusan bersama pengguna.
Bagi menambah daya tarikan kepada pengunjung, pelbagai aktiviti eksklusif disediakan termasuk Rasa Fusion Food Festival yang membolehkan pengunjung berbuka puasa dan bersahur bersama, segmen ‘Happy Hour Hujan Duit’ dengan nilai wang tunai sehingga RM1,888, serta cabutan bertuah bernilai sehingga RM188,888 sebagai kemuncak acara.
Pemilihan WTCKL sebagai lokasi penganjuran turut memperkukuh keyakinan terhadap sasaran sejuta pengunjung itu, dengan fasiliti operasi 24 jam, sistem keselamatan serta infrastruktur matang yang sesuai untuk acara berskala mega.
Festival ini turut dimeriahkan dengan persembahan artis, manakala tugas pengacaraan dikendalikan oleh Kelly Azman, Watie Elite, Ahfad dan Sudirman Mohd Tahir.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini Let’s Raya Gegak Gempita Raya 2026 menerusi media sosial rasmi @letsrayawtc, @gerobokbiru serta menggunakan tanda pagar #LetsRayaGegakGempitaRaya2026.
