Amber “Eid’s: Time for Love”- Raya Dengan Rasa, Bukan Sekadar Gaya
Setiap kali Syawal menghampiri, suasana seakan berubah perlahan. Langkah menjadi lebih tenang, hati lebih lembut dan perhatian kembali kepada perkara paling asas keluarga, kasih sayang dan detik-detik kecil yang sering kita ambil mudah sepanjang tahun.
Berangkat daripada rasa itulah, Amber tampil dengan pendekatan berbeza untuk musim Raya 2026. Tidak sekadar memperkenalkan koleksi baharu, jenama fesyen tempatan ini memilih untuk menghidupkan sebuah kisah menerusi kempen “AMBER EID’S: TIME FOR LOVE”, yang menekankan emosi, hubungan dan makna sebenar Aidilfitri.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Amber, Datuk Adzliana Hasan, kempen ini tercetus daripada keinginan untuk mengembalikan Syawal kepada nilai asalnya.
“Aidilfitri bukan sekadar tentang penampilan. Ia tentang hubungan, kasih sayang dan detik-detik yang kita kongsi bersama insan tersayang. Setiap rekaan Amber dihasilkan dengan teliti supaya ia bukan sahaja indah dipakai, tetapi turut membawa nilai sentimental yang boleh dikenang dan diwariskan”, ujar beliau ketika ditemui media sempena pelancaran fesyen raya Amber di Seputeh, Kuala Lumpur pada 4 Febuari lalu.
Bagi musim ini, Amber memilih Istanbul sebagai latar penceritaan dimana ianya sebuah kota yang kaya dengan sejarah, warisan dan jiwa. Terletak di antara dua benua, Istanbul melambangkan pertemuan Timur dan Barat dalam satu keharmonian yang tenang, selari dengan semangat Aidilfitri yang menyatukan pelbagai latar dalam satu rasa.






Pemilihan Istanbul bukan sekadar elemen visual, sebaliknya simbol kepada warisan Islam, nostalgia dan nilai yang kekal merentas zaman. Di bawah kubah-kubah megah dan lorong batu berusia ratusan tahun, Amber merakamkan Raya sebagai sebuah perjalanan pulang ke keluarga, ke tradisi dan ke hati.
Koleksi Raya Amber 2026 menampilkan rekaan yang lembut dan bersahaja. Siluet longgar, fabrik ringan dan perincian halus menjadi asas, menjadikan setiap helaian selesa digayakan sepanjang hari Raya tanpa menjejaskan keanggunan.


Enam koleksi wanita iaitu Lalizar, AyaSofya, Mihrimah, Hürrem, İznik dan Sarayli diinspirasikan daripada seni bina dan budaya Istanbul.
Lalizar menampilkan motif tulip diraja yang diinspirasikan taman Uthmaniyyah, simbol keindahan yang kekal. AyaSofya pula meminjam keagungan Hagia Sophia menerusi potongan hadapan terbuka dan pleats accordion yang memberi sentuhan moden.
Mihrimah menyerlahkan sisi feminin seorang puteri diraja melalui kolar berlipat dan potongan lengan terbuka, manakala Hürrem tampil lebih berani dengan peplum regal dan corak floral yang diinspirasikan taman Harem Topkapı.
Dua koleksi lain, İznik dan Sarayli, melengkapkan barisan dengan sentuhan nostalgia yang lebih santai, sesuai digayakan dari pagi hingga ke malam.
Duta Amber, Amira Othman, menyifatkan koleksi ini dekat dengan suasana sebenar Aidilfitri.
“Raya bagi saya tentang kelembutan apatah lagi dalam cara kita berpakaian dan meluahkan kasih sayang. Amber berjaya terjemahkan rasa itu dengan sangat indah.”
Bagi koleksi lelaki, Amber mengekalkan pendekatan ringkas dan praktikal. Fabrik cotton yang selesa dipadankan dengan potongan regular fit serta palet warna earth tone, menjadikan koleksi ini mudah digayakan dan sesuai untuk pelbagai suasana.
Bosphorus tampil santai dengan kolar Hawaiian dan corak bunga halus, sesuai untuk pagi Raya yang panjang. Rumeli pula hadir lebih kemas dengan motif floral abstrak, memberi sentuhan sofistikated tanpa kelihatan berlebihan.

Pelakon dan duta Amber, Fattah Amin, berkata rekaan Amber menawarkan keseimbangan antara gaya dan keselesaan.
“Ia nampak kemas, tetapi masih selesa. Sesuai untuk Raya dan juga dipakai selepas Syawal.”
Sebagai pelengkap kepada kempen ini, Amber turut memperkenalkan Amber LUXE, koleksi eksklusif sulung yang menampilkan rekaan lebih matang dan refined. Digayakan oleh Hael Husaini dan wajah Amber, Scha Alyahya, koleksi ini menandakan evolusi jenama ke arah fesyen yang lebih eksklusif.
Menggunakan fabrik satin mewah dan chiffon sutera ringan, setiap helaian dihiasi perincian lipatan kemas, ruffle romantik dan sentuhan reben halus. Ia direka bukan untuk satu musim, tetapi untuk disimpan dan dipakai berulang kali.
Dengan lima rekaan wanita iaitu Melis, Esma, Ruya, Ela dan Leyla serta tiga set Baju Melayu moden lelaki Orhan, Azra dan Demir, Amber LUXE meraikan keindahan dalam kesederhanaan.

Penyanyi dan ikon gaya, Hael Husaini, menyifatkan koleksi ini sebagai busana yang bersifat peribadi.
“Amber LUXE terasa sangat intim. Ia adalah pakaian yang kita simpan kerana ada nilai dan cerita.”
Melalui “AMBER EID’S: TIME FOR LOVE”, Amber tidak sekadar menawarkan koleksi Raya, tetapi mengajak kita menghargai semula makna Syawal dan tentang pulang ke rumah, tentang cinta yang tidak perlu dilafazkan, dan tentang kesyukuran yang diraikan bersama.
Semua koleksi Amber Raya 2026 termasuk Amber Eid’s: Time for Love Collection dan Amber LUXE kini boleh didapati di laman web rasmi Amber, dengan beberapa rekaan ditawarkan untuk pra-tempahan. Pembelian secara fizikal boleh dilakukan di butik Amber baharu di IOI City Mall, Putrajaya, bermula 9 Februari.
