February 11, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

RM2 Juta Demi ‘Wow Factor’, Tiket Hampir Habis, Ella Janji Malam Rock Penuh Jiwa

Spread the love

Nama Ella bukan sekadar legenda, tetapi simbol ketahanan, kejujuran dan semangat rock yang tidak pernah luntur. Menjelang konsert istimewa yang bakal berlangsung pada 14 Februari ini, Ratu Rock negara itu bersedia menghadirkan sebuah pementasan berskala besar yang dijanjikan sarat emosi, tenaga dan kenangan buat peminat.

Dengan jualan tiket kini sudah mencecah 90 peratus, konsert anjuran Hitman Solutions itu dilihat antara acara muzik tempatan paling dinanti pada awal tahun ini, sekali gus membuktikan aura Ella masih kukuh merentas generasi.

Di sebalik sambutan hangat peminat, persiapan konsert ini bukan dibuat sambil lewa. Menurut Pengarah Hitman Solutions, Rohit Rampal, penganjuran kali ini menuntut keperluan logistik yang jauh lebih mencabar berbanding pementasan terdahulu.

“Apa yang diperlukan ketika ini ialah keperluan logistik yang sebelum ini tidak ada, jadi kosnya memang bukan kecil. Anggaran sekitar RM2 juta ke atas akan dibelanjakan khusus untuk logistik dan kerja-kerja set-up. Namun bagi kami, perancangan ini adalah untuk memberikan sesuatu yang benar-benar unik dan ‘wow’, bukan sahaja kepada pasukan produksi, malah kepada penonton,” katanya.

Rohit berkata demikian ketika ditemui pada majlis makan tengah hari bersama Ella pada 29 Januari lalu, yang turut menjadi platform penganjur berkongsi perkembangan terkini serta hala tuju pementasan konsert tersebut.

Menurutnya, setiap elemen daripada struktur pentas, sistem bunyi, visual sehinggalah aliran persembahan dirancang rapi bagi memastikan pengalaman menyeluruh yang berbeza daripada kebiasaan.

Bagi Ella, konsert ini bukan sekadar satu lagi persembahan dalam senarai panjang kerjaya seninya, sebaliknya sebuah pertemuan emosi bersama peminat yang setia menyokong sejak awal kemunculannya dalam industri muzik.

“Saya mahu penonton pulang dengan rasa. Tak kisahlah rasa gembira, rindu atau terharu. Muzik itu sepatutnya menyentuh hati. Kalau orang bandingkan atau berkata apa-apa, saya ambil yang baik dan selebihnya saya serahkan kepada penilaian penonton,” katanya.

Tambah penyanyi Standing In The Eyes Of The World itu, pada tahap kariernya kini, kejujuran dalam berkarya lebih utama berbanding mengejar pengiktirafan semata-mata. Setiap lagu yang dibawakan adalah cerminan perjalanan hidup dan pengalaman yang dikongsi bersama peminat.

Lebih menarik, konsert ini turut menampilkan barisan artis jemputan yang mewakili gabungan generasi lama dan baharu dalam muzik tempatan. Antara nama yang bakal berkongsi pentas bersama Ella ialah Amir Masdi, Sam Bunkface, Tam Spider dan The Boys (Lord dan Satiman), selain sokongan pemuzik berpengalaman yang pernah mengiringi Ella sebelum ini.

Gabungan ini dijangka memberikan variasi persembahan yang segar, sekali gus menghubungkan peminat rock era 80-an dan 90-an dengan pendengar generasi baharu.

Sejak tiket mula dijual, sambutan peminat amat menggalakkan sehingga 90 peratus tiket telah terjual, satu angka yang mencerminkan kepercayaan tinggi peminat terhadap kualiti persembahan Ella.

Penganjur turut menasihatkan peminat yang masih belum mendapatkan tiket agar berbuat demikian segera bagi mengelakkan kekecewaan, memandangkan baki tiket yang tinggal semakin terhad.

Dengan pelaburan besar dalam logistik, barisan artis terlibat serta reputasi Ella sebagai penghibur sejati, konsert ini dijangka menjadi antara pementasan paling bermakna dalam kalendar hiburan tempatan tahun ini.

Bagi Rohit, segala usaha dan kos yang dibelanjakan adalah demi memastikan penonton menerima nilai sebenar daripada setiap sen yang dikeluarkan.

Manakala bagi Ella, pentas 14 Februari nanti adalah ruang untuk menyatukan muzik dan perasaan menjadikan setiap lagu sebagai jambatan antara dirinya dan peminat.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page