February 11, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

ARIANI Angkat Warna Lebaran 2026, Himpunkan Emosi Raya Dalam 300,000 Busana

Spread the love

Setiap kali Ramadan dan Syawal menjelang, fesyen bukan sekadar soal apa yang disarung di tubuh, tetapi bagaimana ia menyentuh rasa. Naratif itulah yang menjadi teras kepada Warna Lebaran ARIANI 2026, koleksi terbaharu jenama fesyen Muslimah terkemuka itu yang menyatukan emosi, memori dan gaya hidup moden dalam satu persembahan penuh warna dan makna.

Pelancaran koleksi berkenaan berlangsung meriah di Conference Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 28 Januari lalu, menghimpunkan ratusan tetamu jemputan, selebriti serta penggiat industri fesyen. Lebih istimewa, ARIANI memperkenalkan lebih 300,000 helaian busana dan hijab untuk musim perayaan tahun ini, merangkumi koleksi wanita, lelaki dan kanak-kanak.

Bagi Lebaran 2026, ARIANI memilih pendekatan lebih berani namun seimbang menerusi palet warna yang segar dan lembut. Antara yang mencuri tumpuan ialah Strawberry Matcha, Teal, Lime Green, selain variasi pastel dan tona krim lembut yang melambangkan kegembiraan, ketenangan serta harapan baharu.

Menurut pengasas ARIANI, Datin Seri Farah Haryani Muhammad Philip, pemilihan warna kali ini lahir daripada pemerhatian terhadap emosi wanita dan keluarga ketika menyambut Aidilfitri.

“Setiap tahun kami cuba bawa cerita yang berbeza. Untuk 2026, kami mahu warna yang boleh buat orang rasa gembira bila memakainya. Aidilfitri adalah tentang kebahagiaan, pulang ke rumah dan keluarga. Jadi warna itu sendiri perlu ‘hidup’ dan menyampaikan rasa,” katanya.

Beliau menambah, selepas beberapa musim memberi penekanan kepada sulaman dan elemen klasik, koleksi tahun ini memberi ruang lebih besar kepada warna sebagai watak utama.

“Kami gabungkan tona krim dengan sulaman lembut seperti baby blue dan baby pink supaya ia nampak segar, ringan dan sesuai untuk semua peringkat umur. Ia bukan trend sementara, tetapi rekaan yang boleh dipakai lama dan kekal relevan,” jelasnya.

ARIANI 2026 tampil dengan lebih 400 variasi hijab termasuk bawal satin, chiffon, selendang bercorak serta koleksi premium berperincian kristal. Pada masa sama, koleksi ready-to-wear diperluaskan dengan pilihan baju kurung, jubah, kebaya, kebarung, kaftan, kurta dan baju Melayu menerusi label lelaki, ARYAN.

Pendekatan ini selari dengan gaya hidup keluarga moden yang gemar tampil sedondon pada pagi Syawal, namun tetap mengutamakan keselesaan dan praktikaliti sepanjang hari.

Kehadiran barisan selebriti sebagai duta kempen turut mencuri perhatian. Antaranya Mira Filzah, Bella Dally, Bront Palarae, Elisya Sandha, Qasrina Karim, Elly Mazlein, Cik Epal & Ammar serta Fyza Kadir, yang masing-masing membawa personaliti tersendiri namun selari dengan nilai ARIANI.

Mengulas pemilihan duta, Datin Seri Farah Haryani menjelaskan bahawa ARIANI menitikberatkan keperibadian dan perjalanan hidup seseorang artis, bukan sekadar populariti.

“Kami memilih duta yang ada nilai, disiplin dan hubungan yang baik dengan jenama. Mereka wanita yang bekerja keras, berkeluarga dan dekat dengan realiti kehidupan pelanggan kami. Bila mereka memakai ARIANI, ia nampak jujur dan bukan dibuat-buat,” katanya.

Pelakon Bella Dally menyifatkan koleksi Lebaran 2026 sebagai antara yang paling dekat dengan citarasa peribadinya.

“Warnanya lembut tapi masih menyerlah. Paling penting, ia selesa. Bila beraya, kita nak bergerak, jumpa keluarga dan pada masa sama rasa yakin dengan penampilan,” ujarnya.

Sementara itu, pengacara Uyaina Arshad melihat koleksi ARIANI 2026 sebagai refleksi perubahan fasa kehidupan seorang wanita.

“Raya bukan lagi tentang tampil berlebihan, tetapi tentang rasa. Koleksi ini buat saya rasa tenang, kemas dan sesuai dengan peranan saya sebagai isteri dan ibu,” katanya.

Bagi pencinta eksklusif, ARIANI LUXE menjadi tumpuan dengan rekaan tudung premium menggunakan French lace dan kristal Swarovski. Elly Mazlein dipilih sebagai Muse ARIANI LUXE 2026, membuka tirai pertunjukan dengan penampilan memukau yang menyerlahkan keanggunan dan karismanya.

Pelakon tersohor tanah air, Bront Palarae, secara rasmi dilantik sebagai duta pertama koleksi lelaki Aryan di bawah jenama Ariani, sekali gus menandakan satu pencapaian penting sempena Warna Lebaran Ariani 2026.

Pelantikan ini hadir selepas tiga tahun pencarian oleh pihak Ariani untuk menemukan figura lelaki yang benar-benar selari dengan nilai, karakter dan aspirasi jenama tersebut

“Saya berbesar hati menjadi sebahagian daripada perjalanan ini, lebih-lebih lagi apabila Aryan memberi ruang kepada lelaki untuk mengekspresikan gaya tanpa perlu berlebihan, sebaliknya berakar pada kesederhanaan dan kualiti,” tambahnya lagi,” ujar Bront.

Kemuncak acara turut diserikan dengan kolaborasi tahun kedua bersama LIBERTY LONDON, memperkenalkan 16 cetakan baharu eksklusif yang memadukan elemen antarabangsa dengan potongan tradisional Malaysia—menjadi simbol penyatuan estetika global dan nilai tempatan.

Walaupun hanya 140 rekaan dipersembahkan di pentas, ARIANI menawarkan lebih 600 rekaan penuh untuk Aidilfitri tahun ini, termasuk saiz bayi hingga dewasa (3XL & 4XL).

“Kami mahu setiap wanita tampil yakin dan selesa pada pagi Syawal. Koleksi ini inklusif, mampu dimiliki dan tidak mengabaikan kualiti,” ujar Datin Seri Farah.

Majlis pelancaran turut diserikan dengan kehadiran Tengku Permaisuri Hajjah Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor, selain barisan duta dan wajah ARIANI.

Kesemua koleksi Aidilfitri ARIANI kini berada di pasaran menerusi butik fizikal dan platform dalam talian, termasuk Jualan Pra-Ramadan dan Jualan Mega Lebaran yang berlangsung hingga malam raya.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page