TVS Perkenal Kandungan Khas Sempena Aidilfitri
TVS terus memperkukuh komitmennya sebagai penyiar nasional yang dinamik dengan memperkenalkan Pesta Raya TVS serta barisan kandungan istimewa sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri menerusi pelbagai drama bersiri dan program khas untuk tontonan penonton di seluruh negara.
Pengumuman tersebut dibuat sempena Sidang Media Rancangan TVS 2026 yang berlangsung di sini, sekali gus mencerminkan usaha berterusan stesen itu dalam menyajikan kandungan berkualiti tinggi hasil kolaborasi strategik bersama penggiat seni dan kreatif tempatan.
Ketua Saluran TVS, Mohd Aizal Ibrahim, berkata pengenalan kandungan terbaharu tahun ini merupakan sebahagian daripada perancangan strategik TVS untuk menawarkan rancangan yang segar, relevan dan dekat di hati penonton pelbagai lapisan masyarakat.
“TVS sentiasa komited untuk membawakan kandungan yang bukan sahaja menghiburkan, malah bermakna sebagai medium penceritaan yang mencerminkan realiti, nilai kekeluargaan serta kepelbagaian budaya masyarakat,” katanya.

Antara kandungan utama yang diumumkan ialah drama ikonik “Gerak Khas 2.0” yang bakal bersiaran mulai 23 April 2025. Diterajui Datuk Yusof Haslam, drama tersebut mengembalikan francais popular itu dengan jalan cerita yang lebih sarat dengan aksi dan cabaran.
TVS turut memperkenalkan drama “Siti in the City” yang akan mula ditayangkan pada 21 April 2025. Drama tersebut dibintangi Sweet Qismina, Adam Lee, Puteri Aisyah, Ameer Dawi, Sharifah Zarina dan Michelle Lungan, mengangkat kisah kehidupan urban moden dengan sentuhan emosi dan realistik.
Selain itu, drama “Halalkan Aku” yang menampilkan Nafiz Muaz, Aniq Durar, Jihaa Sham, Lana Nodin dan Nik Rifaie turut diperkenalkan. Drama yang mengupas konflik keluarga serta perkahwinan tanpa rela itu dijadualkan bersiaran pada Jun 2026.
TVS juga membawakan drama bersiri “Boneka” lakonan Atiq Azman, Marc Benji, Nafiez Zaidi, Lisdawati, Fauzi Nawawi, Aleeza Kasim, Sera Melissa, Nina Smith dan Rahim Jailani.

Manakala drama “The Trap” yang menampilkan Shaza Bae, Aidit Noh, Ali Reza dan Fian Ali dijangka menarik perhatian penonton menerusi kisah berkaitan taktik penipuan siber dan jenayah dalam talian.
Bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri, TVS turut memperkenalkan Pesta Raya TVS yang diserikan dengan pelbagai program khas seperti “3 Mak Dara Musim 2”, “Inspirasi Duniamu & Pesta Raya”, “Istimewa Anggun: Seri Aidilfitri”, filem pendek “Raya Paling Epik” serta MV “Raya Paling Epik”.
Menurut Mohd Aizal, barisan program khas tersebut dirangka bagi mengukuhkan nilai kekeluargaan dan kebersamaan yang menjadi teras sambutan Aidilfitri.
“Menerusi Pesta Raya dan program khas ini, TVS berhasrat untuk terus menjadi platform yang menyatukan keluarga dan komuniti, di samping memberi ruang kepada bakat kreatif tempatan untuk terus diketengahkan,” katanya.
Beliau menambah, TVS akan terus memperkukuh peranannya sebagai penyiar nasional dengan menampilkan kandungan tempatan berkualiti tinggi, memperluas kerjasama strategik industri serta memanfaatkan platform televisyen dan digital secara menyeluruh bagi memenuhi keperluan penonton masa kini.
