Bintang Uni-Verse Satukan Industri Muzik & Kampus Awam
Universal Music Malaysia (UMMY) bersama L.Y. Music Factory dan Faithful Music melancarkan edisi pertama Bintang Uni-Verse, sebuah program pencarian bakat khusus untuk pelajar universiti yang menggabungkan elemen pendidikan dan industri muzik profesional.
Majlis pelancaran yang berlangsung di pejabat Universal Music Malaysia itu telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, sekali gus menandakan langkah strategik dalam merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan keperluan sebenar industri hiburan tanah air.
Bintang Uni-Verse bukan sekadar pertandingan nyanyian, sebaliknya berfungsi sebagai platform pembelajaran langsung yang memberi pendedahan, bimbingan serta pengalaman industri kepada pelajar universiti. Program ini turut menyasarkan pembinaan bakat muda yang bersedia melangkah ke peringkat profesional.
Pada majlis sama, UMMY menandatangani kerjasama strategik bersama lima universiti awam terkemuka iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Pengarah Urusan UMMY, Kim Lim, berkata program ini membuka peluang besar kepada pelajar untuk memahami ekosistem sebenar industri muzik.
“Peserta akan memperoleh pendedahan, bimbingan dan pengalaman industri yang sangat bernilai. Ia adalah platform di mana bakat bertemu peluang. Harapan kami, inisiatif ini dapat memperkukuh jaringan strategik antara universiti awam dan industri muzik tempatan,” katanya.
Beliau turut menyatakan harapan agar Bintang Uni-Verse menjadi batu asas dalam melahirkan generasi artis baharu yang mampu bersaing di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Sementara itu, Pengarah Kreatif L.Y. Music Factory, L.Y., menyifatkan Bintang Uni-Verse sebagai jambatan penting antara dunia akademik dan alam pekerjaan sebenar.
“Ia bukan sekadar pertandingan, tetapi platform pemindahan ilmu yang membentuk profesional muda dengan personaliti kukuh dan potensi jangka panjang. Elemen perkongsian pengalaman industri menjadikan program ini lebih bermakna,” katanya.
Majlis pelancaran turut dimeriahkan dengan persembahan artis naungan Universal Music Malaysia iaitu Nuha Bahrin, Ismail Izzani dan Mohsein Kush, yang memperlihatkan kepelbagaian serta kekuatan muzik tempatan.
Mohsein Kush menyampaikan pesanan motivasi kepada peserta dengan menekankan kepentingan usaha dan ketekunan, manakala Nuha Bahrin berharap program ini dapat membantu peserta membina keyakinan serta memberi impak positif kepada industri muzik negara.
Maklumat lanjut mengenai tarikh uji bakat, jadual jelajah kampus dan garis panduan penyertaan akan diumumkan menerusi platform rasmi Universal Music Malaysia dalam masa terdekat.
