“Dulu Bukan Juara TTMM, Malam Ini Rezeki Milik Saya!” – Ammar Haikal Pecah Pentas XO Camp Concert
Pernah tersungkur di program Talk to My Manager (TTMM), tetapi malam kelmarin, bakat muda Ammar Haikal, 19, membuktikan bahawa kegagalan hanyalah permulaan apabila dinobatkan sebagai juara XO Camp Concert di Ruang Rama, Petaling Jaya yang telah berlangsung pada 24 Januari lalu.
Dengan senyuman lebar dan hati penuh kegembiraan, Ammar membawa pulang hadiah wang tunai RM12,121, sekaligus menebus segala kekecewaan silam dan membuktikan bahawa rezeki tidak salah alamat.
“Dulu saya bukan juara di TTMM, tapi insya-Allah, juara di tempat lain,” kata Ammar dengan penuh keyakinan.
Bakat muda ini mengakui tidak menyangka akan meraih gelaran juara. “Perasaan bergelar juara malam ini memang tak tergambar. Alhamdulillah, saya dapat buktikan yang saya boleh menang di XO House Camp,” katanya sewaktu ditemui media.
Ammar turut menjelaskan bahawa beliau belum merancang penggunaan wang kemenangan itu.
“Buat masa ini, tiada perancangan sebab saya pun tak jangka menang. Jujur cakap, saya sertai pertandingan ini untuk seronok-seronok, belajar benda baharu, dan kenal orang baharu. Sewaktu TTMM dulu pun saya tak puas lagi belajar, tapi malam ini rezeki saya menang,” ujarnya.
Sayangnya, bapa Ammar, Ameng Spring, yang juga penyanyi legenda, tidak dapat hadir memberikan sokongan kerana terikat komitmen kerja di Sarawak. “Ayah tak datang sebab ada persembahan di Sarawak. Emak sahaja yang hadir malam ini,” katanya.
Dalam program ini, Ammar mengaku ilmu yang diperoleh sangat berharga, terutamanya dari segi kawalan pentas dan persembahan lagu berentak perlahan.
“Sebelum ini, saya banyak bawa lagu rancak. Untuk XO Camp ini, saya cabar diri bawa lagu perlahan dan balada. Nak kawal pentas agak susah, tapi saya belajar banyak di sini,” jelasnya.
Pada malam kemuncak itu, Ammar mempersembahkan tiga lagu termasuk lagu kemenangan beliau, “Kamelia”. Tempat kedua dimenangi oleh kumpulan XO Jr, manakala tempat ketiga disandang peserta solo, Fariq.
Malam itu benar-benar menjadi saksi kejayaan manis Ammar Haikal, yang membuktikan bahawa rezeki dan peluang pasti datang pada masanya.
