January 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

TAEYONG Kembali Menggila! KL Jadi Saksi Konsert Solo Pertama Pasca Tentera 11 April Ini

Spread the love

Penantian panjang peminat akhirnya terjawab apabila bintang K-pop sensasi, TAEYONG, diumumkan bakal menggegarkan Kuala Lumpur menerusi konsert solo pertamanya di Malaysia selepas menamatkan perkhidmatan ketenteraan.

Lebih mengujakan, konsert berprestij berjudul 2026 TAEYONG CONCERT <TY TRACK – REMASTERED> IN KUALA LUMPUR itu akan berlangsung pada 11 April 2026 di IDEA LIVE ARENA, sekali gus menandakan kemunculan semula penuh tenaga TAEYONG ke pentas Asia sebagai artis solo.

Nama TAEYONG bukan asing dalam dunia K-pop. Sebagai tonggak utama kumpulan gergasi NCT dan NCT 127, beliau terkenal dengan karisma pentas luar biasa, aura dominan serta gaya persembahan yang sentiasa mencuri perhatian. Namun kepulangannya kali ini dianggap lebih bermakna apabila ia hadir sebaik sahaja tamat tempoh tentera, sekali gus menjadi simbol kebangkitan baharu dalam perjalanan seninya.

Jelajah Asia “TY TRACK – REMASTERED” bukan sekadar konsert biasa, sebaliknya sebuah versi diperkasa dan ditransformasikan sepenuhnya daripada konsert solo sulungnya pada 2024. Persembahan kali ini dijanjikan lebih matang, gelap dan beremosi, lengkap dengan susunan muzik segar, visual futuristik serta produksi bertaraf antarabangsa.

Sejak membuka tirai di Seoul pada Januari lalu, jelajah ini mencetuskan fenomena di beberapa bandar utama Asia termasuk Jakarta, Yokohama, Macau dan Bangkok, sebelum Kuala Lumpur dipilih sebagai antara destinasi paling dinanti.

Apa yang menjadikan konsert ini lebih ‘mahal’ dari sudut emosi, ia merupakan konsert solo pertama TAEYONG di Malaysia, sekali gus mencipta sejarah buat peminat tempatan. Kali terakhir beliau menjejakkan kaki ke negara ini adalah pada 2017 sebagai sebahagian persembahan berkumpulan, menjadikan kemunculan kali ini lebih eksklusif dan peribadi.

Lagu-lagu solo seperti SHALALA dan TAP dijangka menjadi momen kemuncak, memperlihatkan sisi sebenar TAEYONG sebagai artis berjiwa besar yang tidak takut bereksperimen dan menolak sempadan kreativiti.

Penganjur, IME Malaysia, menyifatkan konsert ini sebagai sebuah pengalaman menyeluruh yang bukan sahaja menghiburkan, malah sarat dengan penceritaan, emosi dan impak visual yang bakal meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

Harga tiket adalah RM798 (TRACK ZONE – Berdiri), RM698 (PS1 – Berdiri), RM498 (PS2 – Duduk)
RM398 (PS3 – Duduk) dan RM328 (PS4 – Duduk).  Pre-Sale Ahli NCTzen 127 (GL) pada 26 Januari 2026 (Isnin), 12 tengah hari – 5.59 petang dan jualan umum pada 27 Januari 2026 (Selasa), 12 tengah hari

Maklumat lanjut dan perkembangan terkini boleh diikuti menerusi platform media sosial rasmi IME Malaysia.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page