“Fazura x Jakel” Cetus Fenomena Raya 2026, Pertunjukan Fesyen Pertama Dalam Sejarah Jakel
Dunia fesyen tanah air menyaksikan satu detik bersejarah apabila jenama tekstil dan fesyen terkemuka negara, Jakel, akhirnya melangkah ke dimensi baharu dengan penganjuran pertunjukan fesyen berskala besar pertama dalam tempoh lebih 40 tahun penubuhannya, sekali gus memperkenalkan koleksi Jakel Raya 2026 menerusi acara eksklusif Jakel Fenomena Raya 2026.
Lebih mencuri tumpuan, acara ini turut meleraikan teka-teki yang mencetuskan perbualan hangat di media sosial sejak beberapa hari lalu apabila Nur Fazura diumumkan sebagai rakan kolaborasi eksklusif bagi koleksi khas Fazura x Jakel, sekali gus mencipta keterujaan dalam kalangan peminat dan pemerhati industri fesyen.
Sejak video ‘teaser’ Jakel tular di pelbagai platform digital, nama Fazura menjadi antara spekulasi paling hangat diperkatakan. Pengumuman rasmi pada pertunjukan fesyen itu bukan sahaja mengesahkan jangkaan ramai, malah memperkukuh strategi Jakel dalam mencipta fenomena baharu menjelang musim perayaan.
Fazura yang turut dikenali sebagai ikon fesyen dan usahawan berjaya, meluahkan rasa terharu apabila diberi kepercayaan untuk bekerjasama dengan jenama yang mempunyai reputasi kukuh sejak sekian lama.
“Terima kasih kepada Jakel kerana sudi berkolaborasi dengan saya untuk koleksi Fazura x Jakel. Sejujurnya, saya memang peminat dan pembeli produk Jakel. Saya berharap semua akan menyukai 51 rekaan yang kami hasilkan. Selain cantik, elegan, patuh syariah dan pada masa sama ditawarkan pada harga yang mampu milik”, ujarnya ketika ditemui media di majlis pertunjukan Fesyen Jakel Raya 2026 di Jakel Mall Kuala Lumpur pada 22 Januari lalu.
Menariknya, kolaborasi bersama Fazura ini bukan pelantikan sebagai duta, sebaliknya kerjasama khas eksklusif Jakel 2026, satu pendekatan yang jarang dilakukan oleh jenama tekstil tempatan berskala besar. Langkah ini dilihat sebagai strategi berani Jakel untuk memperkukuh kedudukan dalam pasaran fesyen Raya yang semakin kompetitif.
Menurut Ketua Pegawai Operasi, Bahagian Pemasaran & Promosi Jakel Trading Sdn Bhd, Muzaffar Jakel, penganjuran Jakel Fenomena Raya 2026 merupakan simbol transformasi jenama itu selepas lebih empat dekad berada dalam industri.
“Selepas lebih 40 tahun Jakel bertapak dalam industri, inilah kali pertama kami menganjurkan pertunjukan fesyen berskala besar. Ia bukan sekadar memperkenalkan koleksi baharu, tetapi melambangkan evolusi dan aspirasi kami untuk membawa fesyen Raya ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Tambahnya, kolaborasi eksklusif bersama Fazura dijangka memberi impak besar terhadap sambutan koleksi Raya 2026, khususnya dalam kalangan pelanggan digital dan generasi muda.
“Kerjasama ini kami jangka mampu mencetuskan fenomena tersendiri dan menarik perhatian meluas, terutama dalam kalangan media digital dan e-media,” jelasnya.

Pertunjukan fesyen tersebut turut diserikan dengan kehadiran barisan duta utama Jakel Raya 2026, terdiri daripada selebriti dan personaliti terkenal tanah air seperti Nabil Ahmad dan keluarga, Achey dan keluarga, Senario, Cik Epal & Ammar, Elly Mazlein, Kamal Adli serta Que Haidar. Kehadiran mereka mencerminkan pendekatan Jakel yang mahu menampilkan konsep kekeluargaan dan kebersamaan dalam meraikan Aidilfitri.
Dalam usaha mendekati generasi muda, Jakel turut memperkenalkan barisan duta Gen Z Jakel Raya 2026, antaranya Lorenzo Irmann, Ara Bella Ellen, Zarif Ghazi dan Bella Dowanna. Langkah ini dilihat sebagai strategi jangka panjang bagi memastikan jenama itu kekal relevan dan dekat dengan kelompok pengguna baharu.

Kesemua duta tampil memperagakan koleksi Raya 2026 yang menonjolkan rekaan elegan, kontemporari dan versatil, sesuai untuk pelbagai peringkat usia, gaya hidup dan latar masyarakat. Koleksi ini menekankan potongan kemas, fabrik berkualiti serta pilihan warna yang bersifat universal.
Dalam perkembangan sama, Jakel turut mengumumkan pelancaran JAKEL PRA-RAMADAN SALE, yang akan berlangsung bermula 23 Januari hingga 18 Februari, bersempena pengenalan New Collection Raya 2026.
Menurut Muzaffar, jualan Pra-Ramadan ini memberi peluang kepada pelanggan untuk mendapatkan koleksi Raya lebih awal dengan tawaran istimewa, sekali gus mengurangkan tekanan pembelian saat akhir menjelang Aidilfitri.
“Ia adalah sebahagian daripada komitmen Jakel untuk memastikan pelanggan sentiasa mempunyai pilihan terbaik dan pengalaman membeli-belah yang selesa,” katanya.
Secara keseluruhan, Jakel Fenomena Raya 2026 bukan sekadar sebuah pertunjukan fesyen, tetapi simbol perubahan landskap fesyen Raya tempatan. Kolaborasi strategik bersama Fazura, pengenalan duta pelbagai generasi serta pendekatan pemasaran berimpak tinggi menjadikan acara ini antara yang paling mencuri tumpuan menjelang musim perayaan.
Dengan gabungan jenama berpengaruh dan figura selebriti yang mempunyai tarikan besar, fenomena “Fazura x Jakel” dijangka menjadi antara kolaborasi fesyen Raya paling diperkatakan dan dinanti pada tahun 2026.
