REPVBLIK Kembali Gegar Zepp KL, ‘Sandiwara Cinta’ Janji Malam Galau Februari Ini
Oleh Jorn Seth Ov Metalwarpage
Bagi pencinta lagu cinta yang pernah menjadi peneman luka dan rindu, Februari ini bakal menjadi bulan penuh emosi apabila kumpulan pop rock popular Indonesia, REPVBLIK, kembali menemui peminat tempatan menerusi konsert Sandiwara Cinta – Live in Kuala Lumpur.
Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 8 Februari 2026 di Zepp Kuala Lumpur itu dibawakan oleh Rockstage Entertainment dan dijangka menjadi antara persembahan paling dinanti peminat muzik galau Nusantara.
Judul konsert diinspirasikan daripada lagu ikonik Sandiwara Cinta, sebuah karya yang bukan sahaja melonjakkan nama REPVBLIK, malah kekal relevan sehingga hari ini sebagai simbol kisah cinta, kekecewaan dan harapan yang tidak pernah benar-benar selesai.
Menurut Talib Othman, Pengarah Urusan Rockstage Entertainment, pemilihan konsep dan judul konsert dibuat dengan mengambil kira hubungan emosional yang kuat antara REPVBLIK dan peminat di Malaysia.
“REPVBLIK mempunyai kedudukan istimewa di hati peminat Malaysia. Lagu-lagu mereka bukan sekadar didengar, tetapi menjadi sebahagian daripada kisah hidup ramai orang. Sandiwara Cinta adalah lambang emosi itu, dan kami mahu penonton merasainya secara langsung di Zepp KL,” katanya dalam satu kenyataan.
Diterajui vokalis utama, Ruri, bersama barisan anggota band, REPVBLIK dijangka mempersembahkan deretan lagu popular seperti Hanya Ingin Kau Tahu, Aku Takut, Cinta Sempurna dan Sayang Sampai Mati yang sering mencetuskan nyanyian beramai-ramai setiap kali dipersembahkan secara langsung.
Mengulas lanjut, penganjur menyifatkan konsert ini bukan sekadar hiburan semata-mata, sebaliknya satu pengalaman emosi kolektif.
“Ini bukan konsert untuk duduk diam. Ini konsert untuk menyanyi, mengimbau kenangan dan melepaskan perasaan. Kami yakin Zepp KL akan menjadi ‘laut emosi’ apabila ribuan penonton menyanyikan lagu-lagu REPVBLIK bersama-sama,” ujarnya.
Untuk rekod REPVBLIK telah ditubuhkan pada tahun 2007, mereka kekal sebagai antara band pop rock paling berpengaruh di Nusantara dengan identiti muzik yang mudah dikenali dan lirik jujur yang dekat dengan emosi pendengar. Kehadiran Ruri dalam program realiti popular Gegar Vaganza sebelum ini turut mengukuhkan lagi pengaruh mereka di Malaysia serta memperkenalkan REPVBLIK kepada generasi baharu peminat.
Bagi peminat setia, konsert ini adalah peluang menghidupkan kembali nostalgia lama. Manakala bagi yang baru mengenali REPVBLIK, inilah ruang terbaik untuk memahami mengapa lagu-lagu mereka terus hidup dan berbekas di hati, meskipun masa terus berlalu.

Bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat, beberapa kategori tiket ditawarkan mengikut keselesaan penonton.
Harga tiket ditawarkan ialah CAT 1 (Free Standing): RM190 (online) | RM240 (pintu masuk), CAT 2 (Premium Seats): RM330 (online) | RM380 (pintu masuk), CAT 3 (Normal Seats): RM300 (online) | RM350 (pintu masuk) dan RSE Box (Box 1 hingga Box 8): RM600 seorang
Tiket konsert Sandiwara Cinta – Live in Kuala Lumpur kini boleh didapati menerusi laman web rasmi www.myticketempire.com, selaku rakan tiket rasmi.
