January 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Juliet” Akim & The Majistret Gegarkan iTunes, Lagu Melayu Tunggal Top 3 Malaysia

Spread the love

Kumpulan rock popular tanah air, Akim & The Majistret, sekali lagi mencatat pencapaian membanggakan apabila single terbaharu mereka, Juliet, berjaya menduduki tangga ketiga carta Malaysia iTunes Top Songs, sekali gus muncul sebagai satu-satunya lagu Melayu yang menembusi kelompok Top 3 carta berkenaan.

Lebih manis, kejayaan itu diraih di tengah persaingan sengit bersama dua lagu antarabangsa paling popular ketika ini, sekali gus membuktikan karya tempatan masih mampu berdiri sama tinggi di pentas global.

Vokalisnya, Akim Ahmad, menyifatkan pencapaian tersebut sebagai satu penghargaan besar buat seluruh pasukan selepas melalui proses kreatif yang panjang dan mencabar.

“Kami benar-benar tidak menyangka Juliet akan menerima sambutan sehebat ini. Ia hadiah paling bermakna buat kami selepas segala penat lelah dan emosi yang dicurahkan dalam lagu ini,” katanya.

Menurut Akim, kejayaan di carta iTunes itu hadir secara organik, hasil sokongan tulen peminat tanpa sebarang gimik atau strategi pemasaran berlebihan.

“Apa yang membuatkan kami lebih bersyukur ialah pencapaian ini datang daripada sokongan peminat sendiri. Tiada pembelian angka, tiada gimik. Juliet diterima kerana kekuatan lagu itu sendiri,” jelasnya.

Tambah beliau, pencapaian tersebut menjadi suntikan semangat buat Akim & The Majistret untuk terus menghasilkan karya yang lebih jujur, matang dan bermakna.

“Ini peringatan bahawa peminat sentiasa mahukan muzik yang jujur. Selagi kami ikhlas berkarya, kami percaya Juliet hanyalah permulaan kepada lebih banyak kejayaan selepas ini,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, video muzik rasmi Juliet bakal dilancarkan secara eksklusif di saluran YouTube Nova Music pada Jumaat ini, jam 3 petang.

Menariknya, video muzik berkenaan tampil dengan konsep unik apabila menampilkan sembilan wanita berbeza sebagai ‘Juliet’, masing-masing membawa tafsiran tersendiri terhadap emosi lagu tersebut. Antara selebriti yang terlibat ialah Fauziah Datuk Ahmad Daud, Elly Mazlein, Nadia Brian, Sweet Qismina, Dr Soo Wincci, Evanatie, Nurel, Hawa Rizwana dan Farahdiya.

Menurut Akim, kehadiran sembilan figura wanita hebat itu memberikan dimensi baharu kepada penceritaan Juliet.

“Setiap ‘Juliet’ membawa makna berbeza. Kami mahu peminat melihat bahawa Juliet bukan sekadar lagu cinta biasa, sebaliknya simbol kepada kekuatan, luka dan keindahan emosi seorang wanita,” ujarnya.

Sejak dilancarkan, Juliet terus meraih reaksi positif di pelbagai platform penstriman digital serta media sosial, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Akim & The Majistret sebagai antara kumpulan paling berpengaruh dalam landskap muzik tempatan.

Dengan kejayaan di carta iTunes serta pelancaran video muzik yang dinanti-nantikan, Juliet dijangka terus mengukir sejarah tersendiri dalam perjalanan seni Akim & The Majistret.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page