Akim & The Majistret Pertaruh Emosi & Kejujuran Dalam Single Baharu ‘Juliet’
Akim & The Majistret (ATM) kembali mencuri tumpuan peminat muzik tempatan menerusi pelancaran single terbaharu berjudul ‘Juliet’, sebuah karya sarat emosi yang menonjolkan keberanian, kejujuran perasaan serta kematangan muzik yang semakin utuh.
‘Juliet’ merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh anggota Akim & The Majistret, manakala liriknya ditulis oleh Bunga Cantik. Lagu ini mengangkat naratif cinta yang tidak berteraskan kesempurnaan, sebaliknya meraikan keberanian untuk jujur dan setia kepada perasaan sendiri satu tema yang dekat dengan realiti hubungan masa kini.
Menurut vokalis utama, Akim Ahmad, ‘Juliet’ membawa makna yang lebih mendalam daripada sekadar kisah cinta biasa.
“Bagi saya, ‘Juliet’ adalah tentang keberanian untuk mencintai dengan jujur walaupun dunia di sekeliling sering memaksa kita berpura-pura. Lagu ini dekat dengan realiti hubungan, keikhlasan dan bagaimana kita mempertahankan perasaan walaupun berdepan cabaran,” katanya.
Akim turut berkongsi bahawa proses rakaman single ini memberikan pengalaman berbeza buat beliau dan seluruh anggota kumpulan.
“Kami mahu setiap lagu yang dikeluarkan ada jiwa. ‘Juliet’ lahir daripada perbincangan panjang di studio tentang apa yang kami rasa sebagai manusia, bukan sekadar sebagai pemuzik. Saya harap pendengar dapat merasai emosi itu apabila mendengar lagu ini,” ujarnya lagi.
Pelancaran ‘Juliet’ hadir selepas beberapa karya terdahulu Akim & The Majistret mencatat pencapaian memberangsangkan di platform digital. Antara yang paling menonjol ialah ‘Potret’ yang meraih lebih 33 juta tontonan di YouTube dan kekal menjadi lagu wajib dalam setiap persembahan langsung mereka.
Single ‘Rampas’ dan ‘Mewangi’ turut menerima sambutan luar biasa apabila masing-masing mencatat 18 juta dan 14 juta tontonan, selain mengungguli carta radio tempatan sekali gus mengukuhkan reputasi ATM sebagai antara kumpulan rock moden paling konsisten di Malaysia.
Manakala single ‘Saksama’ yang dilancarkan pada tahun 2023 mencipta kejayaan besar apabila memenangi Lagu Rock Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-24, selain meraih tempat ketiga Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-39.
Kejayaan berterusan ini bukan sahaja membuktikan kekuatan vokal Akim Ahmad, malah keserasian beliau bersama barisan pemuzik The Majistret dalam menghasilkan muzik yang relevan dengan generasi masa kini tanpa mengorbankan elemen ‘jiwa’ dan keaslian karya.

Dengan susunan muzik yang kemas, melodi yang kuat serta lirik yang puitis, ‘Juliet’ dilihat sebagai satu lagi bukti kematangan Akim & The Majistret dalam mencipta karya yang bukan sekadar sedap didengar, malah mampu menyentuh perasaan pendengar.
Single ‘Juliet’ terbitan Nova Music Malaysia boleh mula distrim di semua platform penstriman muzik bermula Jumaat, 9 Januari 2026. Visualizer rasmi lagu ini juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos pada hari yang sama, jam 3 petang.
