January 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Kolaborasi Universal Music–Le Méridien Angkat Konsep Eksklusif Sambutan Tahun Baharu

Spread the love

Kerjasama strategik antara Universal Music Malaysia dan Le Méridien Petaling Jaya berjaya memperkenalkan pendekatan baharu dalam penganjuran acara hiburan premium menerusi Konsert Nostalgia New Year’s Eve, yang berlangsung di hotel berkenaan,pada 31 Disember lalu.

Dianjurkan dalam format tertutup (indoor), konsert tersebut menampilkan persembahan eksklusif oleh Ernie Zakri, Syamel serta sentuhan muzik nostalgia daripada DJ Fuzz, sekali gus memperkukuh kedudukan acara itu sebagai satu inisiatif kolaboratif yang menggabungkan hiburan, hospitaliti dan pengalaman gaya hidup berkelas.

Penganjuran ini mencerminkan usaha berterusan Universal Music Malaysia dalam memperluaskan nilai artis di bawah naungan mereka menerusi platform persembahan berskala eksklusif, di samping memperkukuh jenama Le Méridien Petaling Jaya sebagai destinasi acara premium berkonsepkan pengalaman tersendiri.

Syamel menyifatkan kolaborasi tersebut sebagai satu langkah progresif yang membuka dimensi baharu dalam penganjuran sambutan ambang Tahun Baharu.

“Kami dimaklumkan oleh pihak label mengenai perancangan acara ini hasil kerjasama bersama Le Méridien. Ia bukan sekadar konsert, tetapi satu pengalaman yang dirancang secara terperinci dari segi suasana, keselesaan dan penyampaian,” katanya.

Menurut Syamel, konsep tertutup yang diterapkan memberikan nilai tambah kepada pengalaman penonton, sekali gus membuktikan sambutan Tahun Baharu boleh diraikan dalam suasana lebih terkawal dan eksklusif.

Sementara itu, Ernie Zakri menyifatkan penganjuran konsert tersebut sebagai satu cabaran yang berbaloi, terutama dalam menyesuaikan persembahan muzik dengan persekitaran ballroom hotel.

“Ini kali pertama kami mengendalikan sambutan Tahun Baharu dalam ballroom. Dari sudut jenama dan pengalaman, ia memberikan dimensi berbeza berbanding acara terbuka,” katanya.

Tambah Ernie, sokongan padu daripada pihak penganjur dan penonton membuktikan konsep yang dibawakan mempunyai potensi besar untuk diperluaskan pada masa hadapan.

“Walaupun kebiasaannya orang memilih sambutan luar, namun kehadiran penonton malam ini menunjukkan konsep ini diterima dengan baik,” ujarnya.

Konsert berkenaan turut memperlihatkan sinergi antara elemen hiburan dan hospitaliti apabila tetamu bukan sahaja disajikan dengan persembahan muzik, malah menikmati layanan, sajian serta persekitaran eksklusif yang selari dengan imej jenama Le Méridien.

Persembahan DJ Fuzz pula melengkapkan keseluruhan pengalaman acara dengan elemen nostalgia dan irama kontemporari, sekali gus mengukuhkan konsep ‘entertainment experience’ yang diketengahkan oleh kedua-dua jenama terlibat.

Penganjuran Konsert Nostalgia New Year’s Eve ini dilihat sebagai satu model kolaborasi strategik antara industri muzik dan sektor hospitaliti, yang berpotensi menjadi rujukan baharu bagi penganjuran acara hiburan premium di Malaysia.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page