LOKALOKO Hadiahkan 100 Tiket Percuma, Satukan Muzik Tanpa Sempadan
Milestone Production Raikan Penganjuran Sulung, Gabung Artis Tempatan Dan Serantau Di Zepp KL
Kredit Foto: Megatz Review
Sempena penganjuran sulung Konsert LOKALOKO, penganjur Milestone Production menawarkan 100 tiket percuma kepada peminat muzik tempatan sebagai tanda penghargaan dan meraikan semangat muzik tanpa sempadan.
Menurut wakil penganjur, Dato’ Grace Lee, pemberian tiket percuma itu akan berlangsung bermula 18 Disember 2025 hingga 10 Januari 2026, dengan maklumat penyertaan diumumkan secara berperingkat menerusi platform media sosial rasmi LOKALOKO.

“Pemberian tiket percuma ini adalah simbol penghargaan kami kepada peminat muzik yang sentiasa menyokong karya tempatan dan serantau. Kami mahu LOKALOKO menjadi ruang pertemuan muzik yang inklusif dan dekat dengan penonton,” katanya ketika ditemui media di The Cage, Lalaport, pada 17 Disember lalu
Konsert LOKALOKO yang dijadualkan berlangsung pada 24 Januari 2026 di Zepp Kuala Lumpur menghimpunkan gabungan artis tempatan dan serantau, sekali gus menjadikannya antara acara muzik yang dinanti-nantikan peminat pada awal tahun hadapan.
Antara nama besar yang bakal menggegarkan pentas ialah Butterfingers, Amir Jahari, kumpulan dari Indonesia The Lantis, serta band indie tempatan FUGŌ, mewakili kepelbagaian genre dan generasi muzik.
“Konsert ini dibahagikan kepada dua sesi, masing-masing dengan vibe tersendiri, dimana Butterfingers ft Amir Jahari akan beraksi pada jam 3 Petang manakala The Lantis ft FUGŌ pula akan mengadakan persembahan pada jam 8 Malam”, tambah beliau.

Vokalis Butterfingers, Emmett, menyifatkan LOKALOKO sebagai platform penting untuk menghubungkan semula pemuzik dan penonton dalam suasana yang lebih dekat dan jujur.
“Kami melihat LOKALOKO bukan sekadar konsert, tetapi ruang untuk muzik dirasai semula tanpa batas genre dan usia. Apa yang kami bawa nanti adalah tenaga mentah Butterfingers seperti dulu, cuma dengan jiwa yang lebih matang,” katanya.

Sementara itu, kumpulan The Lantis dari Indonesia menyifatkan penyertaan mereka sebagai langkah memperkukuh hubungan muzik antara Malaysia dan Indonesia.
“Kami teruja untuk kembali ke Kuala Lumpur. Pentas LOKALOKO adalah peluang untuk berkongsi muzik kami dengan peminat serumpun yang sentiasa memberi sokongan luar biasa,” kata mereka.

Kumpulan FUGŌ pula melihat konsert ini sebagai platform penting untuk meraikan muzik alternatif tempatan.
“LOKALOKO memberi ruang kepada kepelbagaian bunyi dan idea. Kami mahu penonton menikmati muzik tanpa label dan tanpa jarak,” jelas wakil kumpulan itu.
Milestone Production memaklumkan, penganjuran LOKALOKO bertujuan mengangkat karya tempatan dan serantau dalam satu pengalaman konsert yang inklusif, selain membuka peluang kepada peminat untuk mendekati artis kegemaran mereka secara lebih intim.
Orang ramai yang ingin menyertai giveaway 100 tiket percuma dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan terkini menerusi akaun media sosial rasmi LOKALOKO, kerana pelbagai aktiviti dan kejutan akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Konsert LOKALOKO dijangka menjadi pembuka tirai kepada lebih banyak penganjuran muzik berskala besar oleh Milestone Production pada tahun 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab hiburan serantau.

Harga tiket bermula dari RM148 dan anda boleh mendapatkan pakej bundle untuk tiket Standing, memberikan akses ke kedua-dua sesi dengan harga istimewa. Semua harga tiket tertakluk kepada yuran tempahan RM6 dan cukai SST 8%, manakala pemegang kad Maybank layak menikmati diskaun 10%. (Tertakluk kepada terma dan syarat)
Tiket boleh didapati di: ticketmelon.com/lokaloko/MY. Untuk info lanjut boleh layari: milestone-entertainment.com
