December 13, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Drama Band Janji Konsert 15 Tahun Penuh Kejutan, Tawar Harga Tiket Serendah RM58

Spread the love

Kredit Foto:  Papadin

Kumpulan yang bernuansakan genre rock alternatif, Drama Band, bersedia menandakan perjalanan seni mereka selama 15 tahun dengan sebuah konsert eksklusif bertajuk “Drama 15 Tahun”, yang akan berlangsung pada 31 Januari 2026 di RCD BIG Studio, Shah Alam.

Konsert istimewa ini dianjurkan oleh Aepul Roza Enterprise dengan sokongan rasmi Kementerian Komunikasi Malaysia dan MyCreative Ventures, menandakan kolaborasi strategik antara industri hiburan dan institusi seni negara.

Vokalis kumpulan, Aepul Roza, menegaskan bahawa konsert ini bukan sekadar persembahan muzik biasa, tetapi sebuah malam penghargaan khas untuk peminat setia yang telah menyokong Drama Band sejak penubuhan mereka pada 2010.

“Konsert ini adalah impian kami sejak 2010. Insya-Allah, tak lama lagi ia menjadi kenyataan. Kita harap sokongan daripada kamu semua,” ujar Aepul sewaktu sidang media yang diadakan di Rusa Café, Puchong pada 10 Disember lalu.

Drama Band mengekalkan visi mereka yang tersendiri, iaitu “Suara Rakyat”, di mana mereka memastikan pengalaman konsert ini dapat dinikmati oleh semua lapisan peminat, termasuk golongan muda dan lama, dengan harga tiket yang sangat berpatutan iaitu serendah RM58, manakala harga tertinggi ialah RM158. Tiket rasmi akan mula dijual pada 11 Disember 2025, jam 3 petang melalui Ticket2U, dengan kapasiti 2,500 penonton untuk malam eksklusif ini.

Menurut Aepul, Drama 15 Tahun bukan sahaja akan menampilkan susunan lagu klasik dan hits terbaru mereka, tetapi juga memperkenalkan karya generasi baru yang dijangka menambat hati peminat baru dan lama.

“Kami mahu malam ini menjadi kenangan manis untuk semua. Selain muzik, kami juga menekankan pengalaman visual pentas dengan lampu dramatik, skrin LED, elemen teater, dan penampilan istimewa artis jemputan yang pastinya menambah kejutan sepanjang malam,” tambahnya lagi.

Selain meraikan pencapaian 15 tahun, konsert ini juga menjadi platform Drama Band untuk menghargai peminat dan semua pihak yang telah menyokong perjalanan seni mereka, termasuk kru produksi, pemuzik latar, serta pihak media. Malah, Aepul menegaskan bahawa Drama 15 Tahun bukan sekadar ulang tahun konsert, tetapi sebuah pengalaman hampir seperti pementasan teater yang sarat dengan emosi, muzik, dan kejutan yang pasti tidak akan dilupakan oleh penonton.

Konsert ini dijangka menjadi satu titik penting dalam sejarah muzik Malaysia, menampilkan kombinasi nostalgia dan inovasi, di mana peminat berpeluang menyaksikan Drama Band dalam bentuk persembahan yang lebih dramatik dan interaktif. Dengan harga tiket yang mesra poket, kumpulan ini sekali lagi menegaskan misi mereka untuk membawa muzik lebih dekat kepada rakyat, sejajar dengan tema “Suara Rakyat”.

Bagi peminat setia yang ingin menyaksikan sejarah 15 tahun Drama Band di pentas, tiket boleh diperoleh mulai 11 Disember 2025 di Ticket2U. Jangan lepaskan peluang menjadi sebahagian daripada malam penuh kejutan dan emosi ini


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page