January 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Jessica Jung Pilih Malaysia Sebagai Destinasi Pertama Jelajah Dunia !

Spread the love

Tiket mula dijual 20 November ini

Tahun baharu 2026 bakal bermula dengan penuh warna buat peminat bintang Korea-Amerika, Jessica Jung, apabila beliau memilih Malaysia sebagai destinasi pertama jelajah konsert terbaharunya, Jessica Concert Tour 2026 <Reflections>.

Konsert eksklusif ini akan berlangsung pada 11 Januari 2026 (Ahad), jam 7 malam di Arena of Stars, Resorts World Genting, menjanjikan malam penuh emosi, keindahan visual dan persembahan artistik buat para Golden Stars, gelaran rasmi peminat setia Jessica.

Menampilkan perjalanan seni sejak zaman awalnya bersama kumpulan legenda Girls’ Generation (SNSD) hingga karier solonya kini, konsert <Reflections> dijangka menghadirkan sebuah pengalaman audio visual immersive — gabungan vokal lembut, persembahan tari memikat dan penceritaan yang menyentuh jiwa.

Sejak memulakan kerjaya pada 2007, Jessica membuktikan dirinya sebagai artis serba boleh merangkumi bidang nyanyian, penulisan lagu, fesyen, lakonan dan penulisan novel. Antara karya muzik popularnya termasuk Fly (feat. Fabolous), Big Mini World, Summer Storm, dan Falling Crazy In Love.

Beliau turut mengukir nama di pentas hiburan China selepas meraih tempat kedua dalam program “Sisters Who Make Waves 3”, serta muncul dalam rancangan “The Treasured Voice 4”.

Selain aktif dalam muzik, Jessica ialah pengasas jenama fesyen Blanc & Eclare, serta penulis novel remaja laris “Shine” dan sambungannya, “Bright”. Beliau juga pernah membintangi muzikal Legally Blonde di Korea serta filem I Love That Crazy Little Thing dan My Other Home di China.

Tiket untuk Jessica Concert Tour 2026 <Reflections> in Malaysia boleh dibeli mulai 20 November 2025 (Khamis), jam 3 petang di www.fantopia.io dan rwgenting.com dengan harga RM988 (VIP), RM788 (PS1), RM588 (PS2), RM488 (PS3) dan RM288 (PS4).

Semua harga tertakluk kepada caj pemprosesan RM4.

Untuk perkembangan terkini, ikuti @ht.entertainmentcompany di Instagram.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page