TOMORROW X TOGETHER (TXT) Bakal Gegar Malaysia Februari 2026

Penantian panjang peminat setia MOA di Malaysia akhirnya berakhir! Kumpulan sensasi K-pop, TOMORROW X TOGETHER (TXT), bakal mengadakan konsert sulung mereka di Kuala Lumpur pada 14 Februari 2026 (Jumaat) bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Dibawakan khas oleh iMe Malaysia, konsert yang diberi nama TOMORROW X TOGETHER WORLD TOUR <ACT : TOMORROW> IN KUALA LUMPUR dijangka menjadi antara persembahan paling dinantikan tahun hadapan, apatah lagi ia berlangsung sempena sambutan Hari Valentine — menjanjikan malam penuh magis buat peminat.
Tiket akan mula dijual pada 25 Oktober 2025, manakala ahli MOA MEMBERSHIP (GLOBAL) akan menikmati pra-jualan eksklusif sehari lebih awal pada 24 Oktober 2025 dari jam 2.00 petang hingga 8.00 malam melalui platform rasmi BOOKMYSHOW (http://ime.bigtix.io).

Sejak debut pada tahun 2019, kumpulan dianggotai SOOBIN, YEONJUN, BEOMGYU, TAEHYUN dan HUENING KAI ini terus mencipta fenomena global dengan muzik yang menampilkan tema remaja, impian dan perjalanan menuju kedewasaan. Kini memasuki tahun ketujuh dalam industri, TXT terbukti sebagai antara ikon paling berpengaruh dalam gelombang K-pop Generasi Kelima.
Berbeza daripada struktur kumpulan K-pop kebiasaan, TXT tidak mempunyai posisi tetap selain ketua. Setiap ahli bebas menonjolkan kelebihan masing-masing — sama ada dalam vokal, rap atau tarian — mengikut konsep lagu mereka. Lebih menarik, kelima-lima ahli juga terlibat dalam penulisan lirik, komposisi dan penerbitan lagu, menjadikan karya mereka lebih peribadi dan dekat di hati peminat.
Jelajah dunia <ACT : TOMORROW> yang bermula di Seoul ini telah menjelajah ke bandar-bandar utama termasuk Los Angeles, Washington, Jepun, Hong Kong, Taiwan dan Singapura, sebelum tiba ke Malaysia sebagai antara destinasi eksklusif Asia Tenggara.
MOA tempatan boleh menjangkakan pementasan spektakular dengan efek visual, cahaya dan set pentas bertaraf dunia, selain rangkaian lagu hits seperti Good Boy Gone Bad, Sugar Rush Ride dan Deja Vu yang pasti menggamatkan Axiata Arena.

Harga tiket bermula daripada RM398 (PS5) hingga RM1,098 (VIP Standing & Seating). Pemegang tiket VIP akan menerima akses ke Sound Check Party serta laminat dan lanyard eksklusif. Semua tiket tidak boleh dipindah milik atau dipulangkan semula, dan setiap transaksi terhad kepada dua tiket sahaja bagi memastikan keadilan pembelian.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, peminat boleh mengikuti akaun rasmi iMe Malaysia di semua platform media sosial.