October 23, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Kozae Kembali Dengan “Pengubat Rindu” — Lagu Rap Balada Sarat Emosi Dan Kenangan Sahabat

Spread the love

Suara Mirip Sudirman Tarik Perhatian, Dedikasi Istimewa Buat Arwah Jojoe

Selepas kejayaan kolaborasi REALITI bersama Azharina pada tahun 2024, penyanyi rap dan anggota kumpulan One Nation Emcees, Kozae, kembali dengan karya terbaharu berjudul “Pengubat Rindu”  sebuah lagu berentak Rap Balada yang menyentuh tentang persahabatan, kehilangan dan proses ‘move on’ dalam kehidupan.

Sekali dengar, ramai yang menyangka lagu ini dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) berikutan alunan suara nyanyian yang seakan-akan menyerupai lagenda muzik tanah air, Allahyarham Sudirman. Namun, hakikatnya suara merdu itu milik penyanyi misteri yang hanya dikenali sebagai ‘NXR’, seorang sahabat lama Kozae sendiri.

Menurut Kozae, idea menghasilkan Pengubat Rindu tercetus secara tidak sengaja selepas beliau kembali berhubung dengan NXR melalui laman sosial selepas sekian lama terputus hubungan. “Pertemuan semula itu membuka ruang untuk kami berbicara tentang masa lalu, persahabatan dan kehilangan. Dari situ, ilham lagu ini hadir dengan begitu cepat,” ujarnya.

Menariknya, walaupun asalnya Pengubat Rindu dirancang untuk menggambarkan perjalanan seni Kozae bersama One Nation Emcees, namun selepas melalui proses penulisan, ia tanpa disedari menjadi sebuah lagu yang ‘menghidupkan semula’ pesanan terakhir Allahyarham Jojoe, sahabat baik Kozae yang pernah sama-sama berjuang dalam dunia hiburan sebelum berhijrah.

“Arwah pernah berkata kepada saya, ‘Kalau ingat aku, bolehlah jadikan ini sebagai pengubat rindumu…’ — seminggu sebelum beliau meninggal dunia. Kata-kata itu kekal segar dalam ingatan saya, dan lagu ini seperti menghidupkan semula mesej itu,” kata Kozae sebak.

Lagu ini merupakan hasil ciptaan Kozae dan Dan.el, dengan lirik oleh Kozae, Trigga dan Dan.el. Ia menampilkan gabungan rap dan melodi balada yang lembut, menjadikannya unik dalam konteks muzik arus perdana tempatan.

Pengubat Rindu boleh didengari di semua platform penstriman utama seperti Spotify, Joox, Apple Music dan YouTube Music bermula 15 Ogos lalu.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page