Industri Muzik Sumbang RM19.4 Bilion, RIM Tuntut Dana Lebih Besar Dalam Belanjawan 2026
RIM Gesa Kerajaan Beri Sokongan Besar, Muzik Tempatan Berpotensi Jadi ‘Emas Digital’
Pemain industri muzik tempatan mengharapkan sokongan lebih padu daripada kerajaan menerusi Belanjawan 2026, dengan keyakinan bahawa sektor ini mampu menjadi antara pemacu ekonomi negara.
Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) berkata, muzik bukan sekadar hiburan, tetapi sudah menjadi aset digital bernilai tinggi yang mampu menjana pendapatan besar buat Malaysia.
Pengerusinya, Rosmin Hashim, mendedahkan kajian PwC menunjukkan industri muzik berjaya menyumbang RM19.4 bilion kepada ekonomi negara antara 2016 hingga 2020, selain menjana purata 111,000 peluang pekerjaan setahun.
“Malah, tahun lalu (2024) industri muzik catat pendapatan tertinggi dalam sejarah – mencecah RM339 juta, hasil daripada platform digital seperti YouTube, Spotify, Apple Music, TikTok dan Facebook,” katanya menerusi satu kenyataan yang telah di edarkan pada 8 Oktober.
Menurut Rosmin, sokongan dana kerajaan melalui Dana Kreatif Digital Industri Muzik (DKK) terbukti membantu melahirkan lebih banyak karya berkualiti tinggi.
Antara buktinya, rakaman baharu artis seperti Aina Abdul, Dayang Nurfaizah dan Hazama mendominasi Anugerah Industri Muzik (AIM), malah Dayang turut meraih Album Terbaik menerusi Belagu 2.
“Kalau dana sebegini diteruskan dan diperluaskan, kita akan lihat lebih banyak karya tempatan mampu menawan pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya.
RIM juga mahu kerajaan lebih agresif dalam membawa muzik tempatan ke luar negara, terutama pasaran besar seperti China, India dan Indonesia.
“Malaysia ada kelebihan dari segi kepelbagaian bahasa dan budaya. Lagu Melayu, Cina, India malah genre nasyid berpotensi menembusi pasaran global muzik Islamik,” kata Rosmin.
Tambahnya, Korea Selatan menjadi contoh terbaik bagaimana pelaburan kerajaan mampu menjadikan muzik sebagai sektor eksport utama negara.
“Pelaburan kerajaan Korea dalam K-Pop melonjak daripada 1 bilion Won pada 2009 kepada lebih 319 bilion Won pada 2013, dan dijangka terus meningkat. Hasilnya, muzik Korea kini antara eksport terbesar mereka,” katanya.
Rosmin yakin dengan dasar dan sokongan kukuh kerajaan, Malaysia mampu muncul sebagai kuasa besar kandungan digital di rantau Asia.
“Dengan dana lebih besar, pembangunan bakat serta promosi global yang tersusun, industri muzik tempatan mampu jadi ‘game changer’ ekonomi digital negara menjelang 2026,” katanya.
