March 12, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Intimasi Miso, Rad Museum & Tabber Hangatkan Zepp KL

Spread the love

Peminat Puas, you.will.knovv In Malaysia 2025 Jadi Malam Penuh Jiwa

Seluruh arena Zepp Kuala Lumpur bertukar menjadi ruang penuh intimasi apabila tiga bintang R&B alternatif Korea dari kolektif you.will.knovv iaitu Miso, Rad Museum dan Tabber hadir menghiburkan ribuan peminat menerusi konsert you.will.knovv in Malaysia 2025 yang telah berlangsung pada 4 Oktober lalu.  Konsert ini telah di anjurkan oleh TopGallant Show.

Walaupun tidak sebesar konsert mega, suasana malam itu terasa eksklusif, seolah-olah berada di sebuah kelab jazz retro dengan nuansa hangat dan peribadi.

Miso, penyanyi yang terkenal dengan gaya genre-bending dan lo-fi R&B, membuka pentas dengan “Where Did I Go”. Berbusana ringkas namun penuh karakter, dia membawa penonton hanyut dengan set santai termasuk “Take Me”, diikuti karya baharunya “Happy” dan “Stay”, kolaborasi bersama penerbit antarabangsa Christian Rich. Walaupun interaksinya sederhana, muzik atmosferik yang dibawa Miso menjadi pemanas suasana yang sempurna.

Miso juga turut menyampaikan beberapa buah lain antaranya Alone, Slow Running, dan Let It Go (DAEHEE yang telah di remix kan)

Mengambil giliran, Rad Museum memulakan set dengan “Dancing in the Rain”. Karisma dan interaksinya yang bersahaja membuatkan suasana lebih meriah. Lagu-lagu penuh tenaga seperti “Apollo” dan “Off-Line” mengekalkan momentum, membuktikan mengapa beliau kekal sebagai antara wajah utama dalam dunia R&B Korea.

Sorakan paling lantang malam itu jelas milik Tabber. Membuka set dengan “Healing Killing”, Tabber tampil penuh swagger, menguasai pentas dengan keyakinan meskipun berdepan sedikit isu teknikal. Antara lagu yang mengundang singalong peminat ialah “Hysteric Glamour” dan “Baby Doll”, menjadikan persembahannya sebagai kemuncak malam.

Lebih 11 buah lagu telah disampaikan Tabber menerusi konsert sulungnya di Malaysia.  Antara lagu-lagu yang dipersembahkan adalah Being, Honey, Like A Vampire, Adrenaline, Reset + Wake Up, 007 dan Chi-Ka.

Untuk rekod, label you. will. knovv telah ditubuhkan oleh penyanyi dan komposer terkenal DEAN pada tahun 2017. Dikenali dengan identiti muzik yang eksperimental dan sonik yang unik, menggabungkan elemen R&B, soul, hip hop dan elektronik. Jelajah ini menandakan permulaan baru bagi label tersebut dalam menyampaikan karya mereka kepada peminat Asia secara langsung.

you.will.knovv in Malaysia 2025 membuktikan bahawa keintiman dan keaslian kadangkala lebih bermakna daripada spektakel besar. Ia bukan sekadar konsert, tetapi sebuah perayaan kecil yang menekankan ikatan peribadi antara artis dan penonton, serta penghargaan terhadap muzik alternatif yang jujur dan tulen.

Malam itu, peminat pulang bukan hanya dengan memori, tetapi juga rasa keterhubungan yang lebih dekat dengan tiga nama besar dalam dunia R&B Korea.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page