October 2, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Siti Nurhaliza Raikan 30 Tahun Kerjaya Seni Menerusi Konsert Legacy 30 di Bukit Jalil

Spread the love

Jualan Tiket Umum Akan Dibuka Pada 3 Oktober Jam 3 Petang Menerusi Laman Rasmi Www.Ticket2u.Com

Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, bakal meraikan perjalanan tiga dekad dalam industri muzik menerusi Konsert Mega Legacy 30 Siti Nurhaliza yang akan berlangsung pada 10 Januari 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Konsert berskala besar itu menjadi kemuncak sambutan 30 tahun penglibatan beliau dalam dunia seni yang bukan sahaja menandakan dedikasi serta kecintaan terhadap muzik, malah turut mengangkat nama Malaysia ke persada antarabangsa.

Dengan kapasiti sekitar 60,000 penonton, Stadium Nasional Bukit Jalil dipilih sebagai lokasi terbaik untuk menghimpunkan peminat dari seluruh negara dan rantau Asia.

Menurut penganjur, SN Legacy Sdn. Bhd., penganjuran konsert ini bukan bertujuan memecah rekod kehadiran 70,000 penonton Konsert Fantasia Tour 2004, sebaliknya dirancang dengan teliti bagi memastikan pengalaman yang selesa, epik dan penuh makna kepada semua peminat.

“Legacy 30 bukan sekadar konsert tetapi simbol perjalanan, pengorbanan dan kejayaan seni saya sepanjang 30 tahun. Saya mahu peminat yang selama ini menyokong dapat bersama-sama meraikan detik istimewa ini, menyelami semula karya-karya yang menjadi sebahagian daripada kenangan dan sejarah karier saya,” ujar Siti yang telah merakamkan lebih 20 buah album sepanjang kariernya menerusi satu kenyataan media.

Penganjuran konsert ini juga bertepatan dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, yang diharap dapat menarik kehadiran peminat antarabangsa ke Kuala Lumpur serta menyokong usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya dan hiburan bertaraf dunia.

Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza dibawakan khas oleh Cuckoo dengan Affin Bank sebagai penganjur utama.

Sebagai penghargaan kepada peminat dan pelanggan setia, Pra-Jualan Eksklusif AFFIN akan dibuka bermula 2 Oktober jam 12 tengah hari hingga 3 Oktober jam 12 tengah hari, khusus untuk pemegang Kad Debit dan Kad Kredit Affin.

Sementara itu, jualan tiket umum akan dibuka pada 3 Oktober jam 3 petang menerusi laman rasmi www.ticket2u.com, dengan harga ditawarkan antara RM69 hingga RM1,599 mengikut kategori tempat duduk.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page