Konsert Exists Premium Live @ PJ Ditunda ke 20 Disember

Peminat kumpulan legenda Exists perlu menandakan tarikh baharu di kalendar masing-masing apabila konsert Exists Premium Live @ PJ yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 4 Oktober ini ditunda ke 20 Disember 2025.
Pengumuman tersebut dibuat oleh pihak penganjur, JioBuddy, selepas perbincangan bersama kumpulan Exists bagi memastikan penganjuran konsert ini benar-benar memenuhi konsep “premium” yang dijanjikan.
“Dengan rendah hati kami umumkan bahawa Exists Premium Live @ PJ ditunda ke 20 Disember 2025. Penundaan ini adalah kesepakatan bersama Exists agar konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, tetapi benar-benar eksklusif seperti judulnya,” kata Sean Ng dari JioBuddy.
Bagi Exists yang dianggotai Ujang, Ajai, Musa, Along dan Ezad, penundaan ini memberi lebih banyak ruang untuk mereka membuat persiapan, khususnya dari segi teknikal, demi memastikan mutu persembahan berada di tahap tertinggi.

Menurut Along, konsert pada tarikh baharu itu bakal menjadi persembahan berskala besar terakhir Exists bagi tahun ini. Beliau berkata tarikh ini sangat sesuai kerana memberi mereka masa untuk memperkemaskan segala persiapan. Exists sentiasa menitikberatkan kualiti dan menghargai setiap sen yang dilaburkan peminat untuk menyokong mereka.
Sementara itu, pemain bass Musa menegaskan konsert ini dijangka menjadi sebuah pesta penuh nostalgia. Katanya, Exists mahu peminat hadir dengan penuh rasa rindu dan menjadikan Exists Premium Live @ PJ sebagai momen terbaik bersama karya premium mereka.
Konsert yang akan berlangsung di JioSpace, Petaling Jaya ini dijanjikan sebagai sebuah persembahan intim dengan pemilihan lagu-lagu hit Exists sejak awal penubuhan mereka pada 1991. Sebagai nilai tambah, seramai 100 peminat bertuah juga bakal berpeluang bergambar secara eksklusif bersama setiap anggota Exists.
Harga tiket ditetapkan pada RM588 untuk kategori Premium, RM488 untuk kategori VIP dan RM368 untuk kategori Diamond. Tiket boleh dibeli melalui laman sesawang www.jiotix.asia manakala talian hotline +6011 1660 1122 yang beroperasi menerusi WhatsApp sahaja disediakan khusus untuk peminat dalam kalangan orang kelainan upaya. Peminat yang telah membeli tiket untuk tarikh asal tidak perlu risau kerana ia kekal sah untuk tarikh baharu.
Exists Premium Live @ PJ akan berlangsung pada 20 Disember 2025, hari Sabtu, bermula pada pukul 8.30 malam di JioSpace, Petaling Jaya.