October 1, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

AIM24: Aina Abdul Ungguli Malam Anugerah dengan Empat Trofi Utama

Spread the love

Malam gemilang Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) yang bertemakan “Kemuncak Segala-galanya” membuktikan bahawa Aina Abdul terus mengukuhkan statusnya sebagai penyanyi generasi baharu paling menyerlah apabila membolot empat trofi utama menerusi single popular Jangan Mati Rasa Itu, yang memenangi Vokal Wanita Terbaik, Lagu Pop Terbaik dan Lagu Terbaik. Selain itu, album Imaji Deluxe Edition hasil kerjasamanya dengan Imamz, Peter Chong dan Ezra Kong turut dinobatkan sebagai Rakaman Album Terbaik.

“Alhamdulillah, ini memang antara anugerah yang saya tunggu sepanjang karier saya. AIM adalah sesuatu yang ikonik di Malaysia, sama seperti AJL. Kemenangan ini menjadi penguat semangat untuk saya terus berkarya. Saya benar-benar tidak sangka Jangan Mati Rasa Itu terpilih kerana saingan lain juga sangat hebat,” katanya ketika ditemui media.

Sementara itu, bakat baharu dari Sabah, Ryenald Guntabid, mencipta kejutan besar apabila berjaya meraih dua kategori utama – Artis Baharu Terbaik serta Vokal Lelaki Terbaik menerusi lagu Lumangad Oku Dika.

“Saya sangat bangga dapat berdiri sebaris dengan senior-senior hebat seperti Hafiz Suip, Hazama, Akim Ahmad dan Amir Masdi. Anugerah ini adalah penghargaan buat mereka juga kerana saya banyak belajar daripada mereka,” katanya.

Turut mencatat kemenangan berganda, Faizal Tahir yang menggenggam empat trofi:

  • Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik (bersama Datuk M. Nasir menerusi Campak Bintang),
  • Lagu Nasyid Terbaik (Biar Satu Dunia Tahu bersama Mirwana),
  • Lagu Perpaduan Terbaik (Bendera), serta
  • Lagu dengan Hasilan Video Tertinggi di TikTok (Santai).

Kategori kolaborasi turut hangat dengan lagu Masing-Masing dendangan Ernie Zakri bersama komposer Indonesia, Ade Govinda, yang diumum sebagai Kolaborasi Artis Tempatan bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik selain membawa pulang trofi Lagu Paling Tinggi Distrim.

Bagi kategori album, kemenangan berpihak kepada Dayang Nurfaizah menerusi Belagu 2 hasil sentuhan Aubrey Suwito, yang diumum sebagai Album Terbaik, menewaskan saingan sengit seperti Imaji dan Imaji Deluxe Edition (Aina Abdul), Janji (Dayang Nurfaizah) dan SITISM (Datuk Seri Siti Nurhaliza). Album itu turut meraih Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu menerusi Rindu Menyapa.

Selain itu, penyanyi Daiyan Trisha melakar sejarah dengan kemenangan dalam kategori Lagu Inggeris Terbaik menerusi single My Home Is In Your Arms.

AIM24 juga memperkenalkan kategori digital baharu. Antara pemenangnya ialah Chombi yang meraih gelaran Video Muzik Rasmi Malaysia dengan Tontonan Tertinggi melalui lagu viral Sayunk I Love You.

Kemuncak acara menyaksikan pengiktirafan tertinggi diberikan kepada Datuk Sri Siti Nurhaliza yang menerima Anugerah Sri Wirama atas sumbangan luar biasa lebih dua dekad dalam industri muzik tanah air.

Pemenang Album Terbaik turut membawa pulang hadiah bernilai RM200,000 daripada Dana Kandungan Kreatif (DKK) Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures.

Malam penuh prestij ini dikendalikan dengan penuh bergaya oleh hos serasi, Alif Satar dan Sherry Alhadad, serta disiarkan secara langsung menerusi TV2 dari Arena of Stars, Genting Highlands pada 13 September lalu.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page