October 1, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Khadam”: Filem Seram Baharu Gandingan Remy Ishak, Siti Khadijah Halim & Aghniny Haque

Spread the love

Industri perfileman tempatan bakal digegarkan dengan kemunculan sebuah filem seram epik berjudul Khadam, hasil kolaborasi dua syarikat produksi terkemuka tanah air, Red Communications dan Komet Productions. Filem ini menjanjikan gabungan mistik Nusantara dan sinematik penuh emosi, berlatarkan Malaysia era 1950-an.

Mengangkat tema pewarisan saka dan konflik keibuan, Khadam diterajui oleh barisan pelakon hebat merentasi sempadan.  Aghniny Haque, ratu filem seram Indonesia yang pernah membintangi KKN Desa Penari dan Pemandi Jenazah; Datuk Remy Ishak, idola layar Malaysia (The Experts, Pulang, Sangkar); serta bintang muda berbakat besar, Siti Khadijah Halim (From Saga With Love, Ash & Aish). Turut membintangi ialah pelakon senior Jun Lojong serta dua pelakon kanak-kanak, adik-beradik Zarra Zhaff dan Karl’El.

Di sebalik layar, filem ini dikemudi oleh pengarah prolifik Shamyl Othman, yang pernah mengarahkan filem seram pecah panggung Rahsia (2023). Skrip ditulis oleh Fariza Azlina Isahak, penulis prolifik yang pernah menghasilkan naskhah ikonik KAMI The Movie dan Songlap.

Menariknya, projek ini turut mendapat perhatian syarikat antarabangsa seperti Sil Metropole (Hong Kong) dan Applause Entertainment (India), selain sokongan daripada FINAS. Kerjasama strategik ini menandakan pengiktirafan global terhadap potensi besar filem seram Asia Tenggara.

Filem ini mengisahkan Melor, seorang wanita yang selepas kematian ibunya terpaksa mewarisi saka keluarga iaitu pewarisan spiritual penuh misteri dan kegelapan. Apabila entiti itu mula menghantui hidupnya, Melor terpaksa berpacu dengan masa untuk menyelamatkan anak perempuannya daripada menerima warisan hitam yang sama.

“Khadam bukan sekadar filem seram, ia juga kisah menyayat hati tentang dilema seorang ibu dan pilihan hidup yang sukar dalam menghadapi dunia yang penuh tekanan, berpaksikan mitos serta budaya Nusantara,” ujarnya ketika ditemui sewaktu sidang media pengumuman pelakon dan pasukan produksi filem Khadam, yang telah berlangsung pada 10 September lalu.

Dengan penglibatan bintang dari Malaysia dan Indonesia, penerbit optimis filem ini mampu menembusi pasaran lebih luas di Asia Tenggara. “Gabungan tenaga dua syarikat produksi ini membuktikan bahawa filem seram Malaysia boleh berdiri di pentas serantau,” tambah mereka.

Semntara itu, Datuk Remy Ishak turut melahirkan rasa hairan dengan budaya kerja pelakon generasi baharu yang kebanyakan mereka ‘tiada jiwa’ dan ibaratnya, hanya mengejar populariti semata-mata.

Remy turut memuji komitmen pelakon Indonesia iaitu Aghniny Haque yang bakal bergandingan dengannya dalam filem terbaharu berjudul Khadam.

“Ketika kami buat ‘script reading’ baru-baru ini, dia (Aghniny) sudah memberi. Itu baru baca skrip. Saya rasa macam gila orang ini. Masa kita baca skrip, kita ada imaginasi masing-masing, jadi semua pelakon berkumpul, baca skrip dan tonjolkan karakter. Bila giliran dia, apa yang dia bagi, kita boleh rasa. Jadi dia memang bersesuaian dengan cerita ini,” ujarnya.

Khadam akan memulakan penggambaran pada pertengahan September 2025 dan dijangka menemui penonton di pawagam seluruh negara serta beberapa pasaran serantau terpilih pada tahun 2026.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page