October 23, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Dentuman Merdeka” Jojet and Friend Gegarkan Warung Bapakku FM

Spread the love

Kredit Foto: PapaDin

Suasana meriah menyelubungi Warung Bapakku FM pada 30 Ogos lalu apabila hampir 300 orang penonton membanjiri lokasi itu untuk menyaksikan showcase “Jojet and Friend”, sebuah persembahan istimewa sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke 68.

Diketuai pemain dram berpengalaman Jojet, acara ini menjadi medan pertemuan muzik, nostalgia dan patriotisme. Persembahan dibuka dengan rangkaian lagu-lagu penuh energi termasuk Amuk, Taman Rashidah Utama, Masih Aku Terasa dan Suratan Takdir. Selepas itu, Jojet meluangkan masa berinteraksi bersama penonton dalam sesi bual santai.

Segmen seterusnya memperlihatkan kemunculan penyanyi jemputan. Alif membuka pentas dengan Dari Tuhan sebelum berpadu suara bersama Elia menerusi lagu ikonik Gemuruh. Elia kemudiannya menyampaikan Sejati, manakala Jojet kembali dengan Dia dan Bernafas Dalam Lumpur. Penampilan DJ Isma pula menghidupkan suasana dengan Satelit Puaka.

Acara turut menampilkan The Potais serta artis di bawah naungan 211 Event Empire, yang bukan sahaja mempersembahkan lagu-lagu mereka, malah turut mempromosikan Konsert Nostalgia Rockestra.

Selepas itu, pentas kembali menjadi milik Jojet dengan deretan lagu penuh semangat seperti 1570, Lu Bukan Brader, Rock & Roll Lu Punya Suka dan Bazooka Penaka. Alif kemudian mendendangkan Awang Thrasher dan Bayangan Mimpi, manakala Elia tampil dengan Perbezaan serta Peronda Jaket Biru.

Sorakan penonton terus bergema apabila lagu-lagu seperti Semut Semut, Funky Monyet, Alam Barzakh, Rock & Roll Band dan Jerangkung dipersembahkan. Menjelang detik sambutan Hari Merdeka, sebuah segmen Puisi Merdeka menjadi penutup simbolik yang menyentuh jiwa.

Sebagai encore, lagu Lipas Kudung dimainkan, menamatkan showcase dengan penuh ledakan.

Dalam sesi temuramah selepas acara, Jojet meluahkan rasa syukur kerana persembahan berjalan lancar walaupun masa latihan agak terhad. Latihan mingguan di studio, sokongan kru teknikal serta komitmen rakan-rakan pemuzik banyak membantu memastikan kualiti persembahan.

Showcase ini merupakan siri keempat hasil kerjasama pihak penganjur bersama team Jojet. Sebagai bekas anggota kumpulan Gersang, Jojet menyatakan kesediaan untuk terus menerima undangan pada masa hadapan, selain berharap muzik tempatan terus diberi ruang bersaing dengan nama-nama besar seperti Wings dan Barbarik.

“Selagi ada sokongan peminat dan rakan seperjuangan, saya akan terus berkarya dan menghidupkan pentas,” katanya menutup bicara.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page