Fajar Noor Promosi Lagu Baharu di Kuala Lumpur
Penyanyi muda berbakat dari Indonesia, Fajar Noor, yang meraih tempat kedua dalam program realiti popular Indonesian Idol musim ke-13, kini melebarkan sayapnya ke Malaysia dengan memperkenalkan single sulung berjudul Tahta Hatiku #Pendampingmu.
Kunjungan promosi pertamanya ke Kuala Lumpur bermula pada 3 Ogos dan berakhir hari ini, disambut meriah oleh peminat serta media tempatan. Sepanjang tiga hari di ibu negara, Fajar menghadiri pelbagai aktiviti termasuk persembahan televisyen, temu bual bersama wakil media, sesi fotografi, serta makan malam eksklusif bersama peminat terpilih.
Single Tahta Hatiku #Pendampingmu merupakan hasil ciptaan komposer ternama Indonesia, Yovie Widianto dengan lirik oleh Arsy Widianto. Lagu ini membawa mesej cinta yang tulus serta pengorbanan, tentang memilih untuk tetap berada di sisi insan tersayang walaupun tidak dapat memilikinya sepenuhnya.
“Lagu ini mengenai mencintai dalam diam. Kadang, kita tak selalu dapat bersama orang yang kita sayang, tapi kita tetap ada untuk mereka. Saya percaya ramai orang pernah melalui perasaan itu,” kata Fajar ketika ditemui semasa sesi promosi.

Fajar turut menyatakan bahawa lagu tersebut mencerminkan sisi peribadinya yang lebih selesa meluahkan cinta dan emosi melalui karya muzik berbanding kata-kata secara langsung.
“Sebagai penyanyi baru, saya mahu karya saya berbicara lebih kuat daripada kata-kata saya sendiri. Saya tak sangka sambutan lagu ini begitu positif di Indonesia, dan saya harap ia turut mendapat tempat di hati rakyat Malaysia,” tambahnya.
Lawatan ini juga menandakan permulaan kepada usaha Fajar untuk menembusi pasaran serantau dengan sokongan daripada Universal Music Malaysia, selain sokongan padu para peminat yang semakin meningkat di platform media sosial dan penstriman digital.
“Saya ingin membina hubungan yang kuat dengan peminat di Malaysia. Ini baru permulaan. Saya pasti akan kembali dengan lebih banyak lagu dan persembahan selepas ini,” katanya penuh yakin.
Dengan suara merdu, personaliti merendah diri dan lagu yang menyentuh hati, Fajar Noor kini bersedia untuk menawan hati peminat di Malaysia serta mengorak langkah ke pentas antarabangsa.
