January 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Kotak Sambut 21 Tahun Bersama Arda Hatna di KL

Spread the love

Band rock tersohor dari Indonesia, Kotak, bakal mengubat kerinduan para peminat mereka di Malaysia dengan sebuah konsert istimewa sempena sambutan ulang tahun ke-21 penubuhan mereka. Konsert bertajuk Road to 21st Anniversary Kotak x Arda Hatna itu akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 21 September 2025.

Menampilkan gabungan istimewa bersama vokalis Naff, Arda Hatna, yang juga merupakan suami kepada vokalis utama Kotak, Tantri Syalindri Ichlasari, konsert ini dijangka menjadi antara detik paling bersejarah buat band tersebut serta para peminat setia mereka, yang dikenali sebagai Kerabat Kotak.

Menurut wakil penganjur dari Boomset Planning, Syira Yusof, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa tetapi merupakan satu bentuk penghormatan kepada era muzik yang telah membentuk ramai pendengar sepanjang dua dekad lalu.

“Ini bukan sekadar konsert, ia adalah penghormatan kepada era muzik yang membentuk ramai dari kita. Kami mahu bawa semangat itu kembali hidup dalam suasana intim dan penuh bermakna,” katanya.

Tambah Syira, GemaWave sebagai platform hiburan yang meraikan muzik Asia Tenggara telah memilih persembahan Kotak x Arda Hatna sebagai projek sulung mereka, dan Boomset Planning berazam untuk memberikan pengalaman berbeza kepada penonton.

“Dengan kolaborasi Kotak dan Arda Hatna, keraian Road To 21st Anniversary Kotak x Arda Hatna akan menjadi sebuah momen luar biasa yang tidak akan dilupakan peminat,” ujar Syira.

Arda Hatna, yang terkenal dengan lagu-lagu hit bersama Naff seperti Terendap Laraku, Kau Masih Kekasihku dan Akhirnya Ku Menemukanmu, juga telah menghasilkan karya solo yang mendapat sambutan seperti Orang Tak Enakkan dan Pelabuhan Terakhir. Kehadiran beliau bersama Kotak menjadikan konsert ini satu persembahan eksklusif yang tidak boleh dilepaskan.

Tantri, mewakili Kotak, turut meluahkan rasa teruja untuk bertemu peminat di Kuala Lumpur dan menyifatkan acara ini sebagai satu kenangan peribadi yang cukup istimewa, bukan sahaja bagi Kotak tetapi juga buat dirinya dan Arda.

“Persembahan ini berbeza dari konsert sebelum ini kerana ia bukan sahaja menyambut ulangtahun Kotak tetapi juga menjadi momen yang sungguh bermakna apabila saya akan digandingkan bersama suami tercinta dalam satu pentas yang sama bersama-sama peminat dan yang tersayang,” katanya.

Tantri turut berpesan kepada para peminat agar tidak melepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada malam istimewa itu.

“Ingatan kami kepada kalian tidak pernah ‘Hilang’. Semoga kita saling ‘Selalu Cinta’ dan sampai jumpa di Kuala Lumpur. Long Live Kotak,” ujar Tantri penuh semangat.

Tiket konsert kini boleh didapati melalui laman sesawang www.ticket2u.com.my dengan harga bermula RM198 (standing), RM218 (gold), RM248 (platinum) dan RM3,888 (box). Peminat disarankan untuk mendapatkan tiket lebih awal bagi memastikan mereka tidak terlepas menyaksikan persembahan penuh emosi dan tenaga ini.

Kerabat Kotak, tandakan kalendar anda — 21 September 2025, Zepp Kuala Lumpur. Ini adalah satu malam yang anda tidak mahu lepaskan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page