Michael Learns To Rock Kembali Gegarkan Malaysia November IniKumpulan Denmark bakal pentas konsert ‘Encore All The Hits’ di Arena of Stars, Genting Highlands
Kumpulan pop rock terkenal dari Denmark, Michael Learns To Rock (MLTR) bakal kembali mengubat rindu para peminat di Malaysia menerusi konsert istimewa ‘Michael Learns To Rock Encore All The Hits in Malaysia’ yang akan berlangsung pada 9 November 2025 (Ahad), jam 6 petang di Arena of Stars, Resorts World Genting.
Dianjurkan oleh MMIC Entertainment Group dengan kerjasama JS Concert Productions selaku promoter, kemunculan semula MLTR ke Malaysia kali ini adalah atas permintaan tinggi peminat yang tidak pernah surut sejak penubuhan mereka pada tahun 1988.
Trio yang dianggotai Jascha Richter (vokalis), Mikkel Lentz (gitar) dan Kåre Wanscher (dram) ini terkenal dengan barisan lagu malar segar seperti “Take Me To Your Heart”, “Paint My Love”, “25 Minutes”, “Sleeping Child”, dan “That’s Why (You Go Away)”. Lagu-lagu ini terus menjadi siulan sepanjang zaman, menjadikan setiap persembahan MLTR sentiasa mendapat sambutan hangat di seluruh dunia.
Sejak tiga dekad lalu, MLTR telah menjayakan hampir 1,000 persembahan secara langsung, menerima pelbagai anugerah emas dan platinum, menjual lebih 11 juta album, serta mencatat 1.5 bilion penstriman di pelbagai platform digital. Kejayaan ini menjadikan mereka salah satu kumpulan muzik antarabangsa paling lama bertahan dan relevan hingga ke hari ini.
Malaysia bukanlah asing buat MLTR. Bermula dengan persembahan berskala kecil sekitar tahun 90-an, populariti mereka yang berterusan membolehkan mereka mengisi lokasi berskala besar seperti Arena of Stars – membuktikan bahawa muzik mereka masih dekat di hati peminat tempatan.

Tiket untuk konsert ini boleh didapati pada harga berikut (tidak termasuk yuran pemprosesan RM4): Zon MLTR: RM988, VIP: RM788. PS1: RM688, PS2: RM488, PS3: RM288 dan PS4: RM188
Pra-jualan eksklusif untuk ahli Genting Rewards akan bermula pada 4 Ogos, jam 12 tengah hari melalui www.rwgenting.com, manakala jualan umum bermula 8 Ogos, jam 12 tengah hari menerusi etix.my, rwgenting.com dan trip.com.
Tiket Zon MLTR dan VIP turut disertakan dengan faedah eksklusif untuk para peminat bertuah:
Zon MLTR (RM988) – Foto peribadi (3:1) bersama ahli kumpulan untuk 10 pemenang bertuah dan Foto berkumpulan (3:5) untuk 20 pemenang bertuah manakala bagi tiket VIP (RM788) -Foto berkumpulan (3:5) untuk 20 pemenang bertuah


Untuk maklumat lanjut dan kemas kini konsert, orang ramai boleh mengikuti MMIC Entertainment Group di Facebook dan Instagram, serta JS Concert Productions di Facebook.
