RIF 2025 Tampilkan Tulus dan Juicy Luicy

Dua nama besar dari Indonesia, Juicy Luicy dan Tulus, bakal menggegarkan pentas Mega Star Arena di ibu negara pada 17 Ogos 2025 menerusi Ruang Inspirasi Festival (RIF) yang menjanjikan sebuah pengalaman muzik yang ‘happening’, menyentuh jiwa dan penuh inspirasi.
Festival yang dianjurkan oleh Expoindo bersama penganjur tempatan Thrive ini membawa pendekatan segar dalam penganjuran konsert — menggabungkan muzik dan perkongsian kisah di sebalik lagu-lagu popular artis terlibat, sekali gus menjadikan ia lebih daripada sekadar persembahan muzik biasa.
“Nama ‘Ruang Inspirasi’ lahir daripada hasrat kami untuk menyediakan satu ruang di mana muzik bukan sahaja menghibur, tetapi juga memberi inspirasi dan menyentuh jiwa,” kata wakil Expoindo, Bram Tulong.
Juicy Luicy, kumpulan pop alternatif yang semakin mendapat tempat di hati peminat muda Malaysia, dipilih sebagai artis utama festival menerusi populariti lagu-lagu mereka seperti ‘Lantas’, ‘Lampu Kuning’ dan ‘Sialan’. Persembahan mereka dijadualkan berlangsung pada sebelah malam bermula 7.30 malam.
Sementara itu, penyanyi terkenal Tulus pula akan menghiburkan penonton pada sesi petang bermula 1.30 tengah hari. Kehadiran dua nama besar ini dalam satu hari menjadikan RIF 2025 sebagai festival muzik yang tidak wajar dilepaskan oleh peminat muzik tanah air.

Menurut wakil BBO Events, Johnathon Wong, festival ini turut bertujuan memperkukuh hubungan budaya antara Malaysia dan Indonesia.
“Harapan kami, RIF akan menjadi jambatan budaya yang mengeratkan lagi hubungan dua hala antara industri hiburan Malaysia dan Indonesia. Dalam masa yang sama, kami mahu menyebarkan nilai-nilai positif kepada masyarakat melalui muzik yang kami bawakan,” katanya.
Harga tiket untuk RIF 2025 telah mula dijual sejak 17 Julai lalu menerusi aplikasi rasmi BBO EVENTS atau laman web www.ri-fest.com/kualalumpur. Tiket-tiket ditawarkan dalam beberapa kategori termasuk VVIP (RM1,028), VIP (RM628), Gold (RM458), Platinum (RM318) dan Silver (RM268).
Peminat yang telah membeli tiket persembahan Juicy Luicy turut boleh menaik taraf ke pakej istimewa dengan menggunakan fungsi ‘upgrade’ dalam aplikasi BBO EVENTS.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai festival ini, orang ramai boleh mengikuti akaun rasmi @rifest.my di Instagram dan TikTok.
RIF 2025 menjanjikan bukan sekadar hiburan, tetapi juga sebuah pengalaman yang penuh makna buat para pencinta muzik di Malaysia.