July 16, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

MSH Empire Perjelas Isu Pemilikan Produk Minyak Herba Nilam, Sedia Ambil Tindakan Undang-Undang

Spread the love

Syarikat MSH Empire hari ini tampil memberikan penjelasan rasmi berhubung kontroversi yang tular di media sosial berkaitan produk Minyak Herba Nilam, penjenamaan beg kuning “Nilam HQ”, serta kerjasama terdahulu melibatkan pasangan selebriti TikTok.

Dalam kenyataan yang diedarkan kepada media, MSH Empire menjelaskan bahawa kerjasama dengan pasangan tersebut bermula pada Disember 2024 apabila influencer TikTok, Norsufia Johari atau Cik Pia, memperkenalkan produk Minyak 1001 Khasiat Dayak Kalimantan kepada Azlan dan Nilam sebagai usaha membantu menjana pendapatan melalui TikTok Shop.

“Hasil perbincangan pada 24 Disember 2024, mereka bersetuju untuk menjual produk ini dengan penjenamaan baharu menggunakan nama ‘Minyak Herba Nilam’ dan pembungkusan beg kuning ‘Nilam HQ’. Penukaran nama ini dicadangkan oleh pihak Nilam sendiri dan kami bersetuju dengan syarat kandungan serta formulasi asal produk dikekalkan,” ujar Norsufia Johari dalam satu sidang media eksklusif bersama wakil firma guaman Tetuan Adnan Sharida & Associates di Bandar Baru Bangi pada 15 Julai lalu.

Menerusi sidang media tersebut, Cik Pia turut menjelaskan bahawa kontroversi tercetus pada Februari 2025 apabila Nilam memaklumkan bahawa akaun TikTok miliknya telah disekat. MSH Empire menghantar Cik Pia bagi membantu menyelesaikan isu tersebut, namun pada waktu itu, Nilam menyatakan hasrat untuk menamatkan kerjasama dan membina jenama sendiri.

Pada 12 Mac 2025, Nilam turut mengumumkan pembatalan laman web rasmi dan memohon maaf atas sebarang kekeliruan. Selepas tarikh itu, hanya seorang individu sahaja yang kekal berhubung dengan pihak syarikat.

“Sepanjang tempoh kerjasama, semua komisen dan hasil jualan yang sah telah dibayar terus ke akaun bank pemilik akaun. Malah, kami turut membantu dalam proses pembelian sebuah kenderaan atas nama yang sama sebagai penghargaan,” ujar Cik Pia

Pada 1 Mei 2025, Nilam memuat naik video menyatakan bahawa beliau telah menutup jenama Nilam HQ dan tidak lagi menjual produk di bawah MSH Empire. Beliau turut memperkenalkan jenama baharu melalui syarikat Nilam Empire.

Pihak MSH Empire menyifatkan tindakan tersebut telah mengakibatkan kekeliruan dalam kalangan pengguna, disusuli komen negatif dan ajakan memboikot produk. Sehubungan itu, pada 5 Jun 2025, syarikat mengambil langkah menjenamakan semula produk sebagai Minyak Herba S-HERB dan beg kuning dikenali sebagai SP-HERB.

Kenyataan media berkaitan penjenamaan semula telah dikeluarkan pada 14 Jun 2025 bagi memastikan kejelasan dan mengelakkan sebarang kekeliruan dalam pasaran.

MSH Empire turut menegaskan bahawa segala hak milik terhadap produk, termasuk formulasi dan penjenamaan, adalah di bawah kawalan syarikat dan bukannya individu.

“Produk dan resipi adalah hak milik penuh MSH Empire. Penjenamaan ‘Nilam HQ’ juga adalah milik syarikat. Semua kandungan promosi terdahulu dirakam semasa kerjasama dijalankan, dan kami tidak mempunyai kawalan terhadap sebarang video yang masih dikongsi oleh pihak ketiga atau affiliates,” tegasnya.

MSH Empire juga telah mengarahkan Cik Pia memuat naik penjelasan rasmi melalui akaun TikTok beliau bagi mengembalikan kepercayaan pengguna. Syarikat turut menolak notis yang dikeluarkan oleh pihak Nilam pada 25 Mei 2025 yang menuntut penurunan bahan promosi, kerana mendakwa tuntutan tersebut tidak berasas.

Dalam perkembangan terkini, MSH Empire mengesahkan bahawa tindakan guaman telah dimulakan terhadap pasangan Azlan dan Nilam atas dakwaan fitnah. Peguam Datuk Adnan Seman dari firma guaman Tetuan Adnan Sharida & Associates telah dilantik bagi mengendalikan kes ini.

Surat tuntutan telah dihantar kepada pasangan tersebut pada 15 Julai 2025, dan syarikat menyatakan akan memfailkan saman sekiranya tuntutan yang dinyatakan tidak dipenuhi.

Mengakhiri kenyataan, MSH Empire menegaskan komitmen mereka untuk terus menghasilkan produk berkualiti di bawah jenama Minyak Herba S-HERB, selain meneruskan segala usaha bagi melindungi jenama, reputasi, serta kepercayaan pengguna.

“Kami akan terus mengambil langkah tegas terhadap sebarang tindakan yang menjejaskan nama baik syarikat dan kepercayaan pelanggan kami,” tegas Cik Pia.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page