Pesta Kuantan 188 Kembali Meriahkan Bandaraya Kuantan Dengan Lebih 11 Acara Utama, Dijangka Tarik 60,000 Pengunjung
Mercu tanda ikonik Menara Kuantan 188 bakal sekali lagi menjadi tumpuan apabila Pesta Kuantan 188 kembali berlangsung dari 25 hingga 27 Julai 2025, dijangka menarik lebih 60,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa sempena sambutan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.
Penganjuran pesta anjuran Infiniti Indah Sdn. Bhd. (Kuantan 188), anak syarikat kepada Hospitality 360 Sdn. Bhd. dan cabang hospitaliti MAA Group Berhad ini disokong oleh Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Kerajaan Negeri Pahang, Tourism Pahang dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Pesta edisi 2025 ini menampilkan 11 acara utama, termasuk beberapa segmen baharu seperti K188 Towerthon pada 26 Julai — acara mendaki 524 anak tangga ke puncak menara kedua tertinggi di Malaysia, yang turut disertai atlet tower running terkenal dunia, Soh Wai Ching.
Turut mencuri perhatian adalah Kejohanan Powerboat F3000 Diraja Pahang di Sungai Kuantan dan aksi terjunan BASE dari puncak menara oleh penerjun tempatan dan antarabangsa.
Regatta Perahu Naga Diraja Pahang 2025 akan berlangsung pada 25 Julai dengan penyertaan 24 pasukan bagi dua kategori terbuka dan tertutup. Bagi mereka yang ingin menikmati pemandangan bandar dari udara, aktiviti paramotor akan ditawarkan dari Padang MBK 1 buat julung kalinya.
Salah satu inisiatif menarik dalam pesta tahun ini ialah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama The Driverz Club Malaysia, yang akan meraikan 60 anak yatim dengan pengalaman menaiki kereta mewah sebagai tetamu VIP sepanjang acara berlangsung.
Dunia e-sukan juga tidak ketinggalan dengan penganjuran semula K188 E-Battle, pertandingan Mobile Legends yang menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM20,000, dengan sokongan Persekutuan E-Sukan Malaysia (MESF) dan siaran langsung ke seluruh rantau.
Pesta akan bermula dengan K188 Challenge: Ada Bran? X THR Gegar pada 25 Julai jam 8 malam dimana pertandingan bakat melibatkan muzik dan tarian tempatan.
Kemuncaknya adalah Konsert Percuma pada 26 Julai jam 8.30 malam yang menampilkan barisan artis popular tanah air seperti Ella, Dayang Nurfaizah, Tomok dan Akim, diakhiri pertunjukan drone dan bunga api buat pertama kali di langit Kuantan.
Majlis penutup akan berlangsung dalam bentuk Majlis Makan Malam Gala pada 27 Julai di Hotel Zenith Kuantan bagi meraikan Hari Keputeraan KDYMM Sultan Pahang (30 Julai) dan KDYMM Tengku Ampuan Pahang (5 Ogos).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Infiniti Indah, Dato’ Sri Omar Naresh Mohan berkata, sambutan tahun ini dijangka menjadi yang paling meriah sejak penganjuran pertama festival ini.

“Acara tahunan ini semakin berkembang dan menjadi kebanggaan warga Kuantan serta rakyat Pahang. Ia bukan sekadar hiburan, malah mengangkat budaya, komuniti dan keunikan negeri ini kepada pengunjung luar,” katanya ketika ditemui media di Kuala Lumpur pada 8 Julai lalu.
Pesta Kuantan 188 mendapat penajaan utama daripada JY Creative Development Sdn. Bhd., serta sokongan pelbagai syarikat korporat seperti LBS Bina Group, B.Grimm Power, PASDEC, MAA Group, Tourism Malaysia, dan banyak lagi.
Untuk maklumat lanjut dan jadual penuh acara, orang ramai disaran mengikuti Kuantan 188 di Instagram, Facebook dan TikTok.