Dato’ Khadijah Ibrahim Bertemu Peminat di Brunei, Lancar Sos Ibu
Penyanyi legenda tanah air, Dato’ Khadijah Ibrahim, mencuri tumpuan peminat di Brunei apabila hadir ke Consumer Fair di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) Berakas dalam satu sesi ramah mesra yang penuh emosi dan kenangan.
Kehadiran beliau disambut dengan penuh mesra oleh peminat setianya di negara tersebut yang telah lama merindui kelibat figura seni Malaysia itu. Dalam suasana penuh nostalgia, para peminat turut menyanyikan lagu-lagu popular beliau seperti Doa Buat Kekasih dan Ku Gembira Di Sampingmu, sekali gus menghidupkan semula semangat era kegemilangan muzik 1980-an dan 1990-an.

Selain bertemu peminat, Dato’ Khadijah turut mengambil kesempatan untuk melancarkan produk terbaharunya, iaitu Sos Ibu — sejenis sos cili premium yang diinspirasikan daripada resipi turun-temurun keluarganya. Pelancaran itu mendapat sambutan hangat daripada pengunjung yang teruja menyaksikan kemunculan artis tersohor itu secara dekat.
“Saya sangat terharu dengan sambutan yang diberikan oleh rakyat Brunei. Ini adalah satu kenangan manis buat saya, lebih-lebih lagi apabila dapat memperkenalkan produk hasil air tangan saya sendiri di sini,” kata Dato’ Khadijah ketika ditemui selepas pelancaran produk berkenaan.

Sos Ibu dihasilkan dengan mengekalkan rasa asli tradisional, sesuai untuk pelbagai hidangan tempatan mahupun moden. Produk ini bakal memasuki pasaran Brunei secara rasmi tidak lama lagi dan akan dijual di beberapa pasar raya besar di negara ini melalui rakan kerjasama tempatan.
Pelancaran ini turut menjadi sebahagian daripada usaha Dato’ Khadijah dalam membawa jenama tempatan ke peringkat antarabangsa, serta memberi inspirasi kepada golongan artis dan usahawan seni untuk turut menceburi bidang keusahawanan.

Pihak pengurusan Sos Ibu menjangkakan sambutan positif daripada pengguna di Brunei berdasarkan maklum balas awal yang diterima, dan kini sedang merancang untuk meluaskan rangkaian pengedaran ke negara-negara jiran dalam masa terdekat.
Untuk maklumat lanjut mengenai Sos Ibu, orang ramai boleh mengikuti laman media sosial rasmi Dato’ Khadijah Ibrahim di www.ibufood.com.