Luar Biasa’ Bawa Mesej Kekuatan Hati, Kolaborasi Fazura dan Ade Govinda

Dua nama besar dari dua negara serumpun, Fazura, penyanyi dan ikon gaya dari Malaysia, serta Ade Govinda, pemuzik dan komposer prolifik dari Indonesia, bergabung dalam sebuah kolaborasi istimewa menerusi single inspirasi berjudul “Luar Biasa”, yang dilancarkan secara rasmi pada 20 Jun lalu.
Single tersebut disempurnakan pelancarannya dalam sebuah acara eksklusif di Aurum Theatre, The Exchange TRX, malam penuh emosi itu turut menyaksikan tayangan perdana video muzik rasmi “Luar Biasa”.
Single ini bukan sekadar karya muzik biasa tetapi ia adalah dedikasi penuh makna terhadap semangat untuk bangkit selepas kejatuhan, menyentuh emosi para tetamu yang hadir menerusi mesej kuat serta tayangan perdana video muzik yang menyentuh hati.

“Saya sangat tersentuh dengan lirik ‘Jatuh itu biasa, bangun itu luar biasa’. Ia menggambarkan hakikat perjuangan hidup yang kita semua lalui. Dengan niat yang baik dan keyakinan kepada Allah, kita mampu menghadapi segalanya dengan tenang,” ujar Fazura.
Ditulis sepenuhnya oleh Ade Govinda dengan sumbangan lirik daripada Veron Savanoah dan Fazura sendiri, lagu ini membawa naratif universal tentang ketabahan, kekuatan jiwa dan keindahan untuk memilih bangkit menjadikan “Luar Biasa” sebagai lagu penyuntik semangat yang relevan buat sesiapa sahaja.
“Saya cipta lagu ini untuk semua yang pernah jatuh – agar mereka tahu bahawa bangkit itu jauh lebih luar biasa. Lagu ini datang dari hati dan saya harap ia menjadi pembakar semangat dalam rutin harian pendengar,” kata Ade Govinda yang turut bertindak sebagai komposer, penyusun dan penerbit.

Projek ini bermula hasil perbincangan antara Fazura, Ade, Universal Music Malaysia dan pasukan produksi Indonesia. Dalam satu panggilan Zoom, semuanya bermula dan selebihnya mengalir dengan penuh harmoni.
Menurut Fazura, demo awal yang dihantar oleh Ade sudah cukup kuat dan menyentuh jiwa. Hanya sedikit penyesuaian lirik diperlukan untuk menjadikannya lebih peribadi. Proses rakaman vokal serta penggambaran video muzik berlangsung dalam tempoh singkat namun lancar bukti komitmen dan keserasian pasukan.
“Setiap individu dalam pasukan membawa kekuatan tersendiri. Apabila digabungkan, alhamdulillah kami dapat hasilkan sebuah karya yang bukan sahaja indah dari segi muzik, tetapi juga kuat dari segi mesej,” jelas Fazura.
Sesi rakaman turut menyaksikan persembahan akustik langsung Fazura dengan iringan gitar oleh Ade, momen istimewa yang turut ditayangkan dalam acara malam itu.
Acara pelancaran malam tadi turut menjadi lebih peribadi apabila Fazura mendedikasikan lagu ini buat arwah bapanya sempena ulang tahun kelahiran beliau yang lalu sekaligus menambahkan lagi lapisan makna dan kasih pada karya ini.
“Lagu ini bukan sekadar hiburan, tetapi peneman bagi sesiapa yang melalui fasa sukar. Saya harap ia menjadi sumber kekuatan untuk sesiapa sahaja yang memulakan hari dengan hati yang berat,” ujar Fazura.
“Luar Biasa” mendapat sentuhan adunan daripada Jones Roma serta mastering oleh Stephan Santoso, menjadikannya karya dengan bunyi moden namun tetap kaya emosi. Lagu ini kini boleh didapati di semua platform penstriman utama seperti Spotify, Apple Music dan Joox, manakala video muzik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Fazura mulai jam 10 malam, 20 Jun 2025.