Antacid Lega Album ‘Vexatious Imprisonment’, Tembusi Pasaran Jepun

Kumpulan yang berpaksikan thrash metal, Antacid terus mengukir nama di persada muzik antarabangsa dengan pelancaran album penuh pertama mereka, Vexatious Imprisonment, yang turut mendapat sambutan di pasaran Jepun, salah satu pasaran paling berpengaruh dalam dunia muzik underground.
Ditubuhkan pada tahun 2003, Antacid telah lama menjadi tunjang kepada gerakan thrash tempatan. Sejak rilisan awal seperti Living in Disorder (2003), Thrashing Mania (2004), dan Steel Thrashing Massacre (2006), kumpulan ini telah membina reputasi kukuh dalam kalangan peminat metal serantau. Demo Steel Thrashing Massacre bahkan mendapat sambutan positif di Jepun dan menampilkan kolaborasi istimewa dengan legenda metal Jepun, Sabbat.
Momentum Antacid di Jepun diteruskan apabila mereka dijemput untuk membuat persembahan di True Thrash Fest (TTF), Osaka pada tahun 2017 — berkongsi pentas dengan nama besar seperti Darkness (Jerman), serta band dari Finland, Australia dan Thailand. Pendedahan ini menjadi pemangkin kepada hubungan erat Antacid dengan komuniti metal Jepun.

Kini, pada 5 Mei 2025, Antacid secara rasmi melancarkan album Vexatious Imprisonment di bawah label Pekanmaya Record. Album ini menampilkan lapan trek bertenaga tinggi, termasuk Entities of Treachery, Lack of Empathy, dan Motorhellrider, yang mengekalkan identiti klasik thrash metal era 80-an. Menambah kekuatan baharu, dua lagu lama diberikan suntikan segar menerusi vokalis terkini mereka, Sean Skullcrusher.
Menurut gitaris Antacid, Rexx Strike, kejayaan membawa CD mereka ke pasaran Jepun adalah satu pencapaian besar:
“Alhamdulillah CD Album Antacid ‘Vexatious Imprisonment’ sudah ada di pasaran Jepun. Bukan mudah sebenarnya untuk kami memasuki pasaran Jepun, namun kami percaya kepada rezeki, bak kata orang rezeki memang tak pernah salah alamat,” katanya.
CD album tersebut kini boleh didapati di kedai muzik terkenal, Rockstakk Records di Osaka atau melalui pautan: https://rockstakk.shop-pro.jp/?pid=187065933
Pelancaran album turut diraikan dalam sebuah showcase istimewa di KL Metal Mayhem, bertempat di ibu kota pada 3 Mei 2025. Antacid berkongsi pentas dengan nama-nama besar dalam scene metal tempatan seperti Black Fire, Sil Khannaz, dan Langsuir, manakala jualan fizikal album turut dibuka secara eksklusif sempena acara tersebut.



Dengan semangat yang tidak pernah luntur dan sokongan yang semakin menggalakkan dari dalam dan luar negara, Antacid membuktikan bahawa thrash metal Malaysia mampu bersaing dan menembusi pasaran global termasuk Jepun, yang telah lama menjadi nadi penting kepada perkembangan muzik berat dunia.