June 18, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Shatirah Amanda Dedah Erti Cinta Sejati Dalam Kasih Tersayang

Spread the love

Menyambut kematangan usia 25 tahun dengan penuh makna, penyanyi dan pelakon muda berbakat besar, Shatirah Amanda, kini melangkah lebih jauh dalam dunia muzik dengan pelancaran single terbaharunya berjudul Kasih Tersayang, sebuah karya yang bukan hanya merakam emosi, malah memperlihatkan sisi jati diri dan kematangan dalam penciptaan seni.

Berbeza daripada karya-karya sebelum ini, Kasih Tersayang merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Amanda sendiri daripada melodi hingga ke lirik. Lagu berentak pop ini lahir daripada penghayatan mendalam terhadap nilai kasih sayang yang bersifat universal merangkumi cinta kepada keluarga, sahabat, haiwan peliharaan serta insan-insan yang dekat di hati, melangkaui batas cinta romantik semata-mata.

“Saya ingin membawakan definisi kasih yang lebih luas. Kita selalu dikaburi dengan konsep cinta yang klise, tetapi hakikatnya, kasih sayang hadir dalam pelbagai rupa dan tidak terhad kepada pasangan kekasih sahaja,” ujar Amanda yang kini bernaung di bawah label SA International.

Kasih Tersayang boleh didapati mulai hari ini di platform digital termasuk iTunes, Spotify, Apple Music, YouTube Music, KKBox, Tidal dan Deezer.

Pelancaran lagu ini juga merupakan detik bersejarah bagi Amanda apabila ia menjadi karya sulungnya sebagai pencipta lagu. Pengalaman ini diakui amat berharga buatnya, malah membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya.

“Ini adalah lagu pertama yang saya cipta sendiri. Ia sangat peribadi dan saya akui agak berdebar untuk melihat penerimaan khalayak. Namun saya percaya, kejujuran dalam berkarya akan menyentuh hati pendengar,” tambahnya.

Shatirah Amanda bukan nama asing dalam dunia hiburan tanah air. Mula dikenali menerusi pencalonannya sebagai Top 5 Dewi Remaja 2020, Amanda terus mencuri tumpuan menerusi watak-watak lakonan dalam filem Marak dan drama-drama hit seperti Bunga Salju dan Bila Takdir Melarang Cinta. Namun kini, beliau memilih untuk memberikan tumpuan penuh kepada karier nyanyian yang menjadi impian sejak awal.

“Saya tidak menolak lakonan sepenuhnya, tetapi sekarang fokus saya adalah muzik. Saya ingin membina jenama sebagai penyanyi yang berkualiti, bukan sekadar mencuba-cuba,” katanya lagi.

Amanda juga berkongsi rasa yakin dengan hala tuju baharunya bersama SA International, yang menurutnya memberi ruang dan sokongan yang besar untuk berkembang sebagai artis serba boleh.

“Saya percaya dengan pasukan pengurusan saya. Kami sehaluan dalam membina karier yang lebih kukuh, dan saya harap lagu ini akan membuka lebih banyak peluang untuk saya menembusi pasaran lebih luas — termasuk peringkat antarabangsa,” katanya menutup bicara penuh harapan.

Dengan Kasih Tersayang, Shatirah Amanda tidak sekadar menyampaikan sebuah lagu, tetapi menyulam naratif kematangan dan ketulenan seni yang mampu menyentuh hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Ikuti perkembangan Shatirah Amanda:
Instagram: @shatirahamanda
TikTok: @shatirahamanda


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page