Ziva Magnolya Rilis Album “Merangkai”, Serlahkan Jiwa Pop RnB Sejati

Penyanyi berbakat besar yang digelar “Ratu Riff & Runs”, Ziva Magnolya, kembali menggegar industri muzik tanah air dengan pelancaran album keduanya bertajuk Merangkai. Setelah dua tahun penantian, album ini akhirnya diluncurkan secara rasmi di bawah naungan Universal Music Indonesia, dan menjadi manifestasi sebenar minat Ziva terhadap genre Pop RnB.
“Album ini benar-benar mencerminkan diri saya. Sejak dahulu lagi saya sangat ingin menghasilkan album Pop RnB kerana saya amat menyukai muzik genre ini. Jadi boleh dikatakan, album ini benar-benar saya,” kata Ziva ketika mengulas mengenai penghasilan Merangkai.
Album yang memuatkan sembilan buah lagu ini masih mengekalkan tema cinta, namun dengan pendekatan yang pelbagai dan mendalam. Antara lagu yang telah dilancarkan lebih awal sebagai single ialah “Abadi”, “Wanita Biasa”, dan “Cukup”, yang kesemuanya menerima sambutan luar biasa daripada peminat muzik di Indonesia.

Menariknya, Merangkai turut menyaksikan kerjasama Ziva bersama beberapa nama besar dalam industri muzik seperti Dony Manurung (“Intro”), BIANCADIMAS (“Tertarik Atau Baik”), Trakast, Yafi Aria, dan Stefanus LJ (“Sesuka Hati”), Ranbe (“200K”), Belanegara Abe dan Kaleb J (“Against All The Odds”), S/EEK (“Wanita Biasa” dan “Cukup”), serta Laleilmanino (“Kata Kata”).
Lagu duet “Against All The Odds” bersama Kaleb J menjadi antara momen paling dinanti-nantikan oleh peminat setia sejak 2021. Ziva mengakui pengalaman bekerjasama dengan produser tempatan ternama merupakan penghormatan besar dan membuka ruang pembelajaran baharu buatnya.
Dalam aspek visual, Ziva turut bekerjasama dengan artis visual terkenal Diela Maharanie untuk menghasilkan artwork eksklusif album, yang sarat dengan warna dan karakteristik tersendiri. Untuk memperkaya pengalaman pendengar, video muzik lagu “Kata Kata” dan beberapa video lirik juga dihasilkan dengan sentuhan unik—termasuk elemen ‘seram manja’ yang menyeronokkan.

“Ceritanya ringkas tapi menarik. Tentang cinta yang belum kesampaian dari perspektif orang yang ‘ghosting’ orang lain,” jelas Ziva, menjelaskan konsep video tersebut yang diarahkan oleh Ivan Saputra Alam dan diterbitkan oleh Athea Visual.
Mengakhiri pelancaran ini dengan penuh harapan, Ziva berkata, “Semoga album ini dapat diterima oleh ramai pendengar dan memberi semangat kepada sesiapa yang mendengarnya. Jadikan ia teman harian anda.”
Album Merangkai memuatkan sembilan buah lagu iaitu “Intro”, “Abadi”, “Tertarik Atau Baik”, “Sesuka Hati”, “200K”, “Kata Kata”, “Against All The Odds” (menampilkan Kaleb J), “Wanita Biasa”, dan “Cukup”.
