Siti Halijah Rakam Lagu Baharu Bertemakan Cinta Terhadap Melaka

Penyanyi kelahiran Melaka, Siti Halijah, kini melangkah ke fasa baharu dalam kerjayanya dengan pelancaran lagu terbaru berjudul “Sila-Sila Ke Melaka”, sebuah karya istimewa yang mencerminkan kecintaan dan semangat beliau terhadap negeri bersejarah itu.
Lagu ini adalah hasil ciptaan sepenuhnya komposer tempatan, Anwar Jaapar, atau lebih dikenali sebagai Cik Mai. Ia bukan sekadar sebuah lagu, tetapi juga simbol penghargaan terhadap keunikan dan warisan budaya Melaka, bertepatan dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia yang bakal dilancarkan secara rasmi pada September 2025.
Siti Halijah, yang pernah menjadi ahli kombo Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah serta penyertaan terdahulu dalam Pertandingan Idola Bandaraya Antara Bandaraya Se-Malaysia 2011, sebelum ini pernah mempersembahkan lagu tersebut di pentas pertandingan tersebut. Persembahan itu bukan sahaja menobatkan beliau sebagai juara, malah lagu berkenaan turut memenangi Anugerah Lagu Terbaik PBT Se-Malaysia.

“Lagu Sila-Sila Ke Melaka sangat dekat di hati saya. Ia mengangkat tema pelancongan dan kekayaan warisan Melaka, yang bukan sahaja terkenal di Malaysia tetapi juga di peringkat dunia sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO,” jelas Siti Halijah dalam kenyataan medianya.
Beliau turut menambah bahawa lagu ini diberikan nafas baharu menerusi susunan muzik kontemporari oleh Amy Bong, dengan lirik yang mengangkat semangat dua tokoh ikonik Melaka — “Bijak laksana Tuah, berani laksana Jebat”.
Lagu ini diterbitkan oleh syarikat rakaman Luncai Emas, yang juga bertindak sebagai pemegang hak cipta dan pengedar rasmi. Video muzik rasmi “Sila-Sila Ke Melaka” kini boleh ditonton di saluran YouTube Luncai Emas, manakala versi audionya tersedia untuk distrim di semua platform digital.
Menurut Siti Halijah, pelancaran lagu ini adalah satu langkah penting buat dirinya sebagai artis Melaka yang ingin terus memartabatkan negeri kelahirannya melalui karya seni.
“Ini adalah masa yang paling sesuai untuk lagu ini diperkenalkan kepada khalayak. Harapan saya agar lagu ini bukan sahaja diterima baik oleh masyarakat Malaysia, tetapi juga dapat menarik lebih ramai pelancong untuk merasai keindahan dan keunikan Melaka,” katanya penuh harapan.