May 17, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Tanpa Cinta”, Yovie Widianto & Tiara Andini Hidupkan Semula Luka Cinta dalam Nuansa Baharu

Spread the love

Dalam dunia di mana cinta sering diagungkan sebagai penyembuh luka, Yovie Widianto dan Tiara Andini tampil dengan kenyataan yang lebih pahit namun jujur meskipun kadangkala, cinta adalah punca derita yang paling sukar untuk dilupakan.

Lagu “Tanpa Cinta”, yang pernah mendapat tempat di hati pendengar, kini diberikan nafas baharu menerusi kolaborasi dua generasi muzik Indonesia di bawah label Universal Music Indonesia. Versi terkini ini bukan sekadar mengimbau nostalgia, tetapi membuka lembaran emosi yang lebih mendalam – sesuai dengan sentimen cinta yang tidak semestinya berakhir bahagia.

“Lagu ini tentang seseorang yang cintanya tidak berbalas, yang ditinggalkan demi orang lain. Ia mengangkat perjuangan untuk menerima kenyataan dan memilih untuk terus hidup walaupun tanpa cinta,” ujar Yovie, yang juga bertindak sebagai pencipta dan penerbit lagu.

Bukan pilihan yang mengejutkan, pemilihan Tiara Andini sebagai penyanyi versi baharu ini dirancang sendiri oleh Yovie. Tiara bukan hanya membawa vokal yang jernih dan penuh emosi, tetapi turut menyuntik jiwa baharu ke dalam karya yang telah lama bersemadi dalam katalog Yovie.

“Saya sudah lama sukakan lagu ini. Jadi bila diajak untuk menyanyikan versi baru, saya terus setuju. Ini karya papa Yovie  satu penghormatan buat saya,” jelas Tiara.

Berbeza daripada versi asal, susunan muzik kali ini hadir dengan pendekatan yang lebih lembut dan menyentuh, tanpa mengorbankan keaslian melodinya. Ia diperkemas dengan sentuhan moden yang menyegarkan tanpa merosakkan rasa asal yang dirasai oleh pendengar terdahulu.

Video muzik arahan Prialangga pula membawa elemen teaterikal dan visual puitis, lengkap dengan koreografi halus yang memperindah naratif patah hati yang disampaikan. Penceritaan secara visual ini menambah lapisan makna dan estetika yang kuat kepada lagu.

“Konsepnya sederhana tapi kuat. Unsur tarian dan visual yang simbolik memberikan dimensi tambahan yang sangat bermakna,” kata Yovie.

Melalui “Tanpa Cinta”, Yovie dan Tiara bukan hanya mencipta semula lagu lama – mereka membina jambatan antara generasi, menjadikan lagu ini relevan dalam konteks cinta zaman sekarang. Ia mengingatkan kita bahawa dalam kehidupan sebenar, tidak semua cinta berakhir dengan pengakhiran yang bahagia.

“Harapan saya, generasi hari ini dapat mendengarkan lagu ini bukan hanya sebagai nostalgia, tapi juga sebagai cermin kepada perasaan mereka sendiri,” tambah Yovie.

Dengarkan “Tanpa Cinta” oleh Yovie Widianto dan Tiara Andini di semua platform penstriman digital:
https://lnk.to/YovieWidiantoTiaraAndiniTanpaCinta

Saksikan video muzik rasmi:
https://www.youtube.com/watch?v=93YDqv3KBUs


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page