Killa Driz, Joe Flizzow dan SonaOne Bergabung Hasilkan ‘Last Time’

Penyanyi rap muda yang sedang meningkat naik, Killa Driz, meraih peluang berharga apabila dapat bekerjasama dengan dua nama besar dalam industri muzik tempatan, Joe Flizzow dan SonaOne, menerusi lagu terbaharunya berjudul Last Time.
Kejayaan ini merupakan pencapaian istimewa buat Killa Driz yang sebelum ini menyimpan impian untuk berkongsi studio rakaman bersama ikon hip hop tanah air tersebut. Menariknya, lagu Last Time pada asalnya bukanlah dicipta untuk dirinya, tetapi dihadiahkan oleh Joe Flizzow sendiri sebagai tanda sokongan terhadap perkembangan karier seninya.
“Joe membimbing saya untuk menjadi versi terbaik diri saya dalam muzik. Proses menghasilkan lagu ini sangat organik dan penuh inspirasi. Ia benar-benar pengalaman yang memberi kesan mendalam,” ujar Killa Driz yang kini bernaung di bawah label Def Jam SEA.

Menurutnya, beliau mula terlibat dalam penghasilan lagu tersebut selepas menerima panggilan daripada SonaOne yang memintanya hadir ke pejabat Joe. Ketika itu, bahagian irama lagu sudah disiapkan, dan mereka kemudian menulis lirik bersama-sama sebelum beliau merakamkan bahagian rap.
“Lagu ini mengangkat tema perbandingan antara masa lalu dan masa kini, serta perjalanan menjadi diri sendiri dalam proses pendewasaan,” jelasnya.
Dari segi produksi, SonaOne memainkan peranan besar bukan sahaja sebagai penulis lirik, tetapi juga sebagai komposer, penyusun, dan penerbit penuh lagu berkenaan. Muzik video Last Time pula menampilkan konsep klasik dengan sentuhan fesyen merentasi era, disempurnakan dengan visual berlatarbelakangkan dinding putih – simbol kepada era televisyen hitam putih.

“Konsepnya sederhana tetapi elegan, menampilkan perubahan gaya berpakaian dari zaman ke zaman,” kata SonaOne.
Dengan pencapaian terdahulu melalui lagu-lagu seperti RAP$TAR dan Cuci Mata, Killa Driz terus mencuri perhatian peminat muzik hip hop di Malaysia dan serantau. Artis muda ini turut mengumumkan bahawa album pertamanya akan dilancarkan tahun ini di bawah Def Jam SEA, sebagai sebahagian daripada langkah memperkukuh jenama dan kehadirannya dalam industri muzik.
Lagu Last Time kini boleh didengari di semua platform digital sejak 28 Februari 2025, dan muzik videonya boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Killa Driz.