May 5, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Konsert Al-Kisah MASDO Sepuloh Tahun  Sempena Sedekad Penubuhan MASDO

Spread the love

Konsert Anjuran Hitman Solutions, Bakal Berlangsung Pada 30 Ogos 2025 Di Idea Live Arena KL @ 3 Damansara

Kugiran retro moden kesayangan ramai, MASDO, menyambut satu dekad dalam dunia seni dengan cara yang cukup istimewa dan penuh simbolik menerusi acara eksklusif bertajuk Perjumpaan Ahli Mesyuarat Tingkap yang berlangsung di Saloma, Kuala Lumpur pada 30 April lalu.

Majlis pada malam itu menghimpunkan lebih 200 peminat setia dan rakan media, menjadikan ia satu peristiwa penuh makna buat band yang telah menjadi suara generasi baru peminat muzik Malaysia.

Beberapa hari sebelum acara, para peminat mula berspekulasi tentang sesuatu yang besar bakal diumumkan apabila ahli kumpulan Ali Sariah, Asmawi dan Putu Ceri telah memuat naik hantaran kriptik di Instagram mereka. Teka-teki itu akhirnya terjawab pada malam mesyuarat rahsia ini apabila MASDO menghadiahkan peminat dengan persembahan eksklusif, menyorot kenangan lagu-lagu hit seperti Dinda, Lautan Asmara, Janji Manis, Bunga, dan Berchanda di Malam Indah, yang menghangatkan suasana dan mencetuskan nyanyian bersama.

Detik kemuncak malam tersebut menyaksikan pelancaran rasmi konsert ulang tahun ke-10 MASDO, bertajuk Al-Kisah MASDO Sepuloh Tahun, yang diumumkan secara dramatik dengan penurunan kain penutup pada bangunan MATIC dan disusuli letupan bunga api.

Konsert mega ini dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos 2025 di Idea Live Arena KL @ 3 Damansara. Sebuah lokasi konsert terkini di Malaysia yang boleh menampung sehingga 7,000 penonton. MASDO menjadi artis pertama yang mengumumkan konsert mereka di lokasi berprestij ini, menandakan satu pencapaian penting buat mereka dan juga venue tersebut.

Tiket boleh dipra-daftar bermula 30 April hingga 1 Mei 2025 untuk mendapatkan harga istimewa Rockzone Early Bird – RM128. Bagi yang terlepas, harga tiket semasa Public Sale adalah Rockzone (Free Standing): RM148 dan Cat 1 (Free Seating): RM198

Konsert Al-Kisah MASDO Sepuloh Tahun dianjurkan oleh Hitman Solutions, syarikat penganjur berpengalaman lebih 15 tahun dalam konsert tempatan dan antarabangsa, dengan kerjasama Warner Music Malaysia. Antara rakan rasmi yang turut menyokong acara ini termasuk Kugiran Masdo Empire (Pengurusan Artis), Saloma Kuala Lumpur (Venue Rasmi), ERA, Sinar & Gegar (Radio Rasmi) serta Astro Gempak (Media Rasmi).

“Sebagai rakyat Malaysia yang turut bergiat dalam dunia hiburan dan muzik, kami sentiasa mencari peluang untuk menyokong artis tempatan. Dengan pengalaman, bakat dan legasi MASDO yang tidak pernah pudar sepanjang satu dekad ini, ulang tahun ke-10 mereka perlu diraikan dengan penuh meriah. Kami yakin konsert ini akan menjadi kenangan indah buat peminat lama dan baharu.”ujar  Rohit Rampal, CEO dan pengasas Hitman Group.

Untuk maklumat lanjut mengenai konsert dan pembelian tiket, sila ikuti akaun rasmi MASDO (@kugiranmasdo) dan Hitman Solutions (@hitmansolutions) di media sosial, atau hubungi +6012-265 5783 / emel ke [email protected].


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page