Anugerah Lagu Indie 2024: Senarai 90 Lagu Terbaik Telah Diumumkan

Dunia muzik indie kembali bergetar, Anugerah Lagu Indie (ALI) 2024 hari ini secara rasminya telah mengumumkan Senarai Top 90, iaitu barisan lagu-lagu terbaik yang bakal berentap untuk merebut tempat ke pentas akhir. Disenarai pendek daripada 471 penyertaan seluruh negara, Top 90 ini mewakili suara sebenar generasi muzik bebas Malaysia yang berani, eksperimental dan penuh jiwa.

ALI2024 tampil dengan tiga cabang utama: Pop, Rock, dan Hip Hop—masing-masing menampilkan 30 karya terbaik, hasil saringan ketat oleh barisan juri profesional yang bukan calang-calang. Antara nama yang terlibat termasuk AG Coco, Irena Taib, Leaism, Luca Sickta, Roshan Jamrock, dan Prof Madya Dr. Muhammad Sayyid Bin Shafiee, antara lain.
“Tahun ini memang lain macam. Banyak lagu yang tak ikut trend semasa, tapi lebihkan emosi, nostalgia, dan kematangan. Kategori Pop dan Rock pun makin susah nak pilih sebab ramai budak muda datang dengan karya yang sangat ‘berisi’,” ujar Jenn Thompson, Penerbit Eksekutif ALI2024.
Sementara itu, kategori Hip Hop dilihat sedikit ‘senyap’ tahun ini, namun tetap menyumbang karya-karya berani yang layak diberikan perhatian.
Kini giliran anda untuk memainkan peranan sebagai ‘juri rakyat’. Bermula jam 8 malam, 18 April hingga 30 Mei 2025, orang ramai boleh mengundi secara atas talian untuk memilih lagu kegemaran masing-masing. Undian awam menyumbang 30% markah penuh, manakala 70% selebihnya akan ditentukan oleh juri profesional.
Cara-Cara Undi:
- Layari laman web rasmi: www.anugerahlaguindie.com
- Pilih dan klik lagu yang ingin diundi.
- Setiap orang boleh undi lima kali sahaja (bebas kategori).
- Undian akan ditutup pada 30 Mei 2025.
Daripada 90 lagu ini, hanya 15 akan terpilih—lima dari setiap kategori—untuk mara ke Pentas Akhir ALI2024 yang dijangka berlangsung pada bulan Julai nanti. Siapakah yang bakal menonjol sebagai suara paling berpengaruh dalam dunia indie tanah air? Semuanya bergantung pada rasa, telinga dan jari anda!