March 19, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Rossa Teruja Kembali Ke Bukit Jalil Setelah 15 Tahun

Spread the love

Konsert Rossa ‘Here I Am’ di Kuala Lumpur Turut menampilkan Ariel (Noah), Ernie Zakri, MK (K-Clique) dan Dipha Barus

Kredit Foto: Subky Kelkatu TV

Bintang pop tersohor Indonesia, Dato’ Seri Rossa, bakal mengadakan konsert istimewa bertajuk Here I Am di Kuala Lumpur pada 14 Jun 2025. Acara yang dinanti-nantikan ini akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, menandakan kembalinya Rossa ke pentas besar Malaysia selepas 15 tahun sejak kali terakhir beliau mengadakan persembahan di lokasi berprestij tersebut.

Konsert ini dijangka membawa kelainan berbanding persembahan Rossa sebelum ini, dengan konsep yang lebih segar serta gabungan visual dan muzik yang mengagumkan. Meskipun susunan lagu dan konsep pentas akan selari dengan persembahan yang diadakan di Jakarta, penonton di Malaysia bakal disajikan dengan keunikan tersendiri menerusi kolaborasi bersama artis tempatan.

Antara barisan artis yang akan memeriahkan konsert Here I Am di Kuala Lumpur ialah Ariel (Noah), Ernie Zakri, dan MK (K-Clique). Ini merupakan kali pertama Rossa bakal berkolaborasi dengan Ernie dan MK, menjanjikan persembahan yang tidak pernah disaksikan sebelum ini. Selain itu, DJ popular dari Indonesia, Dipha Barus, turut akan membuat penampilan khas untuk memberikan suntikan segar dalam konsert ini.

“Ya nanti kalau di Kuala Lumpur akan ada Ariel, karena banyak orang yang kayak, kenapa Ariel nggak di bawah-bawah gitu kan. Jadi aku bawa Ariel, terus ada Ernie, Ernie Zakri, dan juga ada MK. Dua-duanya ini aku belum pernah berkolaborasi,” ujar Rossa ketika ditemui media di Majlis Iftar bersama beliau di Hotel Sunway Putra Kuala Lumpur pada 18 Mac lalu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Malaysia, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali, turut berkongsi jualan tiket menunjukkan perkembangan yang sangat positif.

“Sejak pengumuman rasmi konsert ini, Alhamdulillah, jualan tiket sudah mencapai hampir 40 peratus. Kami yakin dengan strategi yang dirangka, konsert ini bakal mencatat kejayaan besar,” katanya.

Untuk memastikan kualiti persembahan yang terbaik, Rossa bersama pasukan produksinya menjalani latihan intensif merangkumi aspek vokal, tarian, dan stamina fizikal. Sebagai seorang penyanyi yang dikenali dengan disiplin tinggi, Rossa turut memainkan peranan dalam susunan muzik sebagai music director bagi konsert ini.

Menurut Rossa, “Latihan fisik pasti, latihan vokal, latihan dance, dan lain sebagainya. Saya kebetulan juga music director juga, segala macam, itu bakalan menyenangkan. Sate, tapi menyenangkan, jadi aku juga merasa teruja, teruja banget untuk konser ini.”

Persiapan konsert di Jakarta dan Kuala Lumpur dijalankan secara selari kerana kedua-duanya diadakan dalam jarak hanya beberapa minggu sahaja. Namun, terdapat beberapa elemen yang khusus dibuat bagi memenuhi citarasa peminat Malaysia.

Rossa turut menyatakan rasa teruja dan bersyukur atas peluang untuk kembali ke Kuala Lumpur dengan sebuah konsert berskala besar. Beliau turut berharap agar konsert ini berjalan lancar dan menjadi satu pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh peminatnya.

“Sebelumnya aku mau minta persyukur di hari baik, bulan baik, semoga konsernya rusak di tanggal 14 Juni ini, di instabil masyarakat bisa diberikan lancaran dan kesuksesan,” ujar Rossa penuh harapan.

Konsert tersebut dianjurkan oleh Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production dengan kerjasama Sah Entertainment serta mendapat sokongan Maybank sebagai rakan strategik perbankan yang menawarkan diskaun istimewa untuk pelanggannya.

Tiket konsert ‘Rossa Here I Am’ dijual dengan harga RM228 hingga RM788 (tidak termasuk cukai dan yuran pentadbiran) di laman web ticket2u, manakala tiket korporat boleh didapati dengan menghubungi Puan Cik Rohaiza di talian 019-288 9764 atau emel [email protected].


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page